Pameran seni lukis sehingga 25 Ogos, Rosli Jaafar harap kumpul lebih banyak jualan amal

80297f1b 0b5d 4fb3 8510 3c28efd418ae ROSLI Jaafar menjelaskan mengenai pameran seni lukis yang berlangsung sehingga 25 Ogos 2024, dengan tema Menyingkap Pesona Asli Pulau Pinang, di sini menjelang tengah hari tadi.

BAKAT melukis yang ada pada batang tubuh Dato’ Seri Ar. Rosli Jaafar sebenarnya kian menyerlah semasa beliau masih menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) lagi.

Bersama-sama seorang pelukis sepenuh masa, Shaparel Salleh, Rosli pernah mengadakan Pameran Seni Amal ‘Essence of Penang’ di The Arts Room, Straits Quays, Tanjung Tokong pada bulan Ogos 2015.

Sungguhpun dihambat dengan tugas hakiki sebagai arkitek bertauliah di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, Rosli dan rakannya berhasrat untuk menyalurkan separuh daripada hasil jualan amal lukisan mereka kepada kepada institusi-institusi pendidikan kanak-kanak istimewa seperti Sekolah Sinar Harapan di Bukit Mertajam dan Pusat Kanak-kanak Kurang Upaya dekat Jalan Grove.

Bermula pada 5 hingga 25 Ogos 2024, Rosli sekali lagi mengadakan pameran amal – kali ini secara solo – di Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang (BSLNPP) dekat aras tiga bangunan Dewan Sri Pinang dengan tema ‘Menyingkap Persona Asli Pulau Pinang’.

a15a0f25 6136 4261 9ab4 834c43374a43
ROSLI Jaafar menunjukkan lukisan separa abstrak yang menceritakan pemandangan dari atas puncak Bukit Bendera iaitu salah salah mercu tanda tarikan pengunjung ke Pulau Pinang.

Menjelang tengah hari tadi (12 Ogos 2024), di BSLNPP, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, NURATIKAH RAHMAT berpeluang menemu bual Rosli berhubung tema pameran amal kali yang kedua ini.

“Sebenarnya saya mula (tema pameran amal pada kali) ini dengan versi bahasa Inggeris – ‘Reminiscences of Penang Unfiltered Charm’; kemudian baru diterjemahkan dalam bahasa Melayu – ‘Menyingkap Persona Asli Pulau Pinang’.

“Perkataan ‘menyingkap’ ini bukan perkataan biasa yang digunakan dalam bahasa Melayu.

“Apabila saya melakukan aktiviti melukis, saya akan didorong melakukan perkara yang saya suka dan minat.

“Sebagai arkitek bertauliah, apabila melukis pelan berkaitan perbandaran, landskap, budaya dan sebagainya, ia sangat dekat dengan minat asal saya untuk melukis.

“Macam di Pulau Pinang, begitu kaya dengan tempat-tempat menarik; contohnya Bukit Bendera, jalan-jalan sekitar bandar raya George Town ataupun suasana kampung…begitu banyak pemandangan saya nikmati semasa jeraya wara serta ini, mendorong saya untuk melukis mengenai keaslian rupa pembangunan negeri ini.

img 1339
LUKISAN bandar sekitar Lebuh Armenia dekat George Town yang dihasilkan oleh Rosli Jaafar antara 45 koleksi pameran yang menarik di sini.

“Apa yang kita dapat lihat sekarang sebenarnya adalah warisan tinggalan pada kurun yang lepas, yang mana sebahagiannya telah musnah dek Perang Dunia Kedua, jadi saya cuba menjana imiginasi dengan melukis kembali rupa bandar berdasarkan hasil tinggalan yang masih ada di sekitar Lebuh Armenia.

“Ini, antara 45 lukisan yang dipamerkan (yang mana) bagi saya lukisan adalah suatu bahasa untuk saya sampaikan mesej mengenai pesona asli Pulau Pinang,” jelasnya.

Pada pameran kali ini lebih menarik, kerana bukan sahaja terdapat lukisan mengenai fakad bangunan-bangunan tinggalan warisan ketara peranakan Cina.

Malah, Rosli berkata para pengunjung turut berpeluang melihat lukisan-lukisan beberapa destinasi terpilih yang menjadi lambang tarikan negeri Pulau Pinang.

“Setiap lukisan ada cerita yang mahu disampaikan kepada semua, (dan) inilah cara saya menyingkapkan pesona asli Pulau Pinang.

“Jika dilihat lukisan-lukisan ini, ada menyingkapkan keindahan pemandangan dari atas Bukit Bendera.

“Dari lukisan ini, diinterpretasikan gambaran keaslian sebenar George Town.

“Sebab itu, kalau dilihat pada hasil lukisan saya, memang tiada bangunan-bangunan baharu, semuanya bangunan lama atau tempat-tempat yang menjadi simbol negeri…contohnya, jeti.

“Ada juga gambar asal dari fotograf, dari gambar itu saya cuba menghasilkan lukisan separa abstrak,” ujarnya lagi.

Selain lukisan berkaitan simbol tarikan yang terdapat di bahagian Pulau, dalam pameran kali ini, Rosli berkata beliau turut mempamerkan beberapa lukisan mengenai tanah besar Seberang Perai.

“Selain destinasi menarik di bahagian Pulau, saya juga melukis sesuatu yang berkaitan tanah besar Seberang Perai… seperti Batu Kawan dengan adanya pokok bakau, kawasan nelayan di Penaga dan sebagainya,” katanya lagi.

Bukan setakat itu sahaja, Rosli memberitahu bahawa pada kali ini beliau turut memuatkan beberapa koleksi terhad, unik dan lukisan abstrak.

44f18c69 60a1 40dc 8231 21da1a95f2e1
ANTARA koleksi yang dipamerkan di sini, menurut Rosli Jaafar lukisan abstrak  itu dihasilkan semasa pandemik COVID-19 beberapa tahun lepas.

“Sebagai arkitek bertauliah, kita boleh mereka bentuk binaan apa juga bangunan termasuk bangunan tertinggi… contoh sehingga hari ini Menara Berkembar adalah ‘bangunan berkembar paling tinggi di dunia’ lagi di Kuala Lumpur.

“Tetapi, apabila telah ada satu mercu tanda tarikan (iaitu bangunan tertinggi), kemudian dibina beberapa lagi bangunan lebih tinggi di situ, bagi saya secara peribadi ia melambangkan ego.

“Jadi, dalam salah satu lukisan mengenai beberapa bangunan tinggi dibina di kawasan perbandaran yang ada, saya namakan lukisan ini sebagai ‘Big Ego’.

“Lukisan adalah bahasa… mungkin juga boleh dianggap satu-satu lukisan itu sebagai kritikan sosial, terpulang kepada niat pelukis itu sendiri dan peminat lukisan untuk memberikan intepritasi masing-masing,” jelasnya lagi.

ae0a2412 4053 435c 903b c48aef00bd24
TERPULANG kepada semua pihak untuk memberikan interpretasi pada lukisan yang diberi nama Big Ego, kata Rosli Jaafar.

Difahamkan, dalam usia Rosli 65 tahun, 80 peratus lukisan yang dipamerkan pada kali ini adalah dihasilkan dalam tempoh bulan Januari hingga Jun 2024, iaitu sejurus mendapat kebenaran penganjuran daripada pihak berkenaan.

“Dengan anugerah Tuhan, saya bersyukur boleh menjadi seorang arkitek bertauliah, makan gaji dan pencen serta dapat meneruskan minat saya melukis.

“Perkara kedua, saya diberi peluang untuk melaksanakan pameran amal sekali lagi, yang mana sebahagian hasil jualan amal lukisan ini akan disumbangkan kepada Sekolah Sinar Harapan.

“Untuk meneruskan operasi sekolah kanak-kanak istimewa ini, memang tidak cukup duit dan memerlukan bantuan sokongan.

“Justeru, saya berharap lebih ramai pihak baik pengunjung tempatan ataupun pengembara antarabangsa dapat mengambil bahagian dengan mengunjungi pameran amal dengan tema ‘Menyingkap Persona Asli Pulau Pinang’.

“Saya juga berharap badan-badan korporat dapat membeli lukisan-lukisan yang dipamerkan di sini (yang mana) sebahagian hasil jualan amal akan disumbangkan kepada Sekolah Sinar Harapan.

“Lebih banyak lukisan berjaya dijual, bermakna lebih banyak sumbangan dapat disalurkan kepada sekolah kanak-kanak istimewa itu,” jelasnya lagi.

41eb1263 fc3e 4f5a b64d 3e87e3917f4f
RUANG pameran di Galeri Seni Lukis Negeri Pulau Pinang dekat aras 3 bangunan Dewan Sri Pinang, George Town.

Mengakhiri sesi temu ramah tadi, Rosli berharap pameran solo pada kali ini lebih mendapat sambutan pelbagai pihak terutama peminat seni lukis tempatan dan antarabangsa.

“Akan datang, saya tidak pasti bagaimana; cuma saya berharap akan dapat menghasilkan karya seni yang berbeza dengan apa yang telah saya hasilkan kini.

“Mungkin menghasilkan seni lukis penuh abstrak…tetapi masih berkaitan negeri Pulau Pinang,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat di sebalik pameran solo amal pada kali ini.

Sehingga 25 Ogos ini, pameran amal dengan tema ‘Menyingkap Persona Asli Pulau Pinang’ dibuka bermula 9 pagi hingga 5 petang; tutup pada hari Jumaat dan cuti umum.

END