MEMINATI bidang seni sejak kecil lagi dan bercita-cita mengadakan pameran seni solo, tidak menghalang artis K. GUNABALAN merealisasikannya pada usia emas 77 tahun.
Walaupun berdepan kekangan kesihatan, itu tidak menghalang beliau, yang merupakan suami kepada mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Dato’ Seri Chong Eng, mengadakan pameran di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Kesempatan itu, pada 13 Disember lalu, wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD sempat berkunjung ke pameran seni solo tersebut.
“Ini memberi erti yang sangat besar, lebih-lebih lagi dibantu oleh insan yang paling bermakna dalam hidup saya.
“Asalnya saya menyambung pelajaran di Amerika Syarikat, di sana banyak belajar mengenai seni tanah liat.
“Tahun 1990 saya balik ke Malaysia dan masuk ke Kolej Equator sebagai pensyarah.
“Selepas itu masuk ke Kolej INTEC pada tahun 1995, tahun yang sama Chong Eng menjadi ADUN pembangkang tunggal di dewan (Dewan Undangan Negeri, DUN) yang bersejarah ini,” ujar Gunabalan ketika ditemui pada pameran seninya bertajuk ‘Social Cultural Justice Art‘ yang berlangsung pada 7 hingga 15 Disember lalu.
Pada pameran tersebut, sebanyak 69 karya seni Gunabalan dipertontonkan kepada umum merangkumi lukisan dan arca yang mengetengahkan pelbagai tema, perjalanan hidup dan sejarah.
Bagi penulis, paling mencuri tumpuan adalah arca lukisan seekor ikan yang tersangkut di pasir pantai.
“Ikan ini saya ibaratkan sebagai Chong Eng, ini kerana pada tahun 1995, beliau cuma seorang ADUN pembangkang di DUN ini.
“Sebab itu juga saya memilih DUN sebagai lokasi pameran, kerana ia banyak mengimbau kenangan semasa beliau dalam arena politik,” katanya.
Buletin Mutiara difahamkan, pameran ‘Social Cultural Justice Art‘ ini terbahagi kepada enam siri.
Siri ‘The Faces of the Forgotten‘ terdiri daripada 30 karya seni, mengenang buruh India yang dipaksa bekerja untuk membina landasan kereta api semasa zaman penjajahan Jepun.
Siri ‘Roots and Tracks‘ pula menampilkan sumbangan penoreh getah dan pekerja landasan kereta api, yang menyumbang kepada kejayaan Malaysia sebagai pengeluar getah terbesar dunia, manakala siri ‘Echoes of the Divine‘ meneroka persimpangan rohani dan budaya yang membentuk visi Gunabalan dengan menggabungkan falsafah timur, motif kerohanian serta simbolisme silang budaya.
Siri keempat ‘The Himalayan Journey‘ diilhamkan daripada perjalanan kerohanian beliau bersama-sama dengan para guru ke kawasan pergunungan Himalaya dengan lembah hijau dan aliran sungai.
Siri kelima iaitu ‘Echoes of Renewal‘ menampilkan beberapa karya yang menggunakan kertas surat khabar lama yang rosak akibat banjir dan siri terakhir ‘Fragments of Resilience‘ yang mendokumentasikan perjuangan serta ketabahan Gunabalan selepas diserang angin ahmar dengan menggunakan gaya dan warna sangat berbeza daripada karya sebelumnya bagi mencerminkan perjalanan emosi serta fizikal.
Mengulas mengenai siri-siri tersebut, Gunabalan memberitahu bahawa beliau mempunyai memori yang mendalam dengan kereta api dan getah kerana datuknya dipaksa bekerja semasa Perang Dunia Kedua untuk membina landasan kereta api di Thailand.
Katanya, ribuan nyawa terkorban, termasuk datuknya yang tidak pernah kembali dan kisah peribadi tersebut memberi inspirasi kepadanya untuk menamakan pameran sulungnya itu sebagai ‘Social Cultural Justice Art‘.
Selain itu, Gunabalan juga terkenal dengan kebolehan memberi ‘kehidupan’ baharu’ pada bahan-bahan terbuang seperti kayu hanyut dan jubin yang pecah, dengan menjadikan bahan-bahan tersebut sebagai karya seni, seiring dengan kepercayaannya terhadap kelestarian alam sekitar.