Pameran solo Ernest kitar bahan buangan

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Pameran sulung artis Lithuania, Ernest Zacharevic yang terkenal dengan lukisan mural di sepanjang jalan-jalan negeri ini kini buat julung kalinya mengadakan pameran sulung menggunakan bahan-bahan terbuang di depot lama Bas Hin, Jalan Presgrave di sini baru-baru ini.

Berkonsepkan ‘Seni adalah Sampah / Sampah adalah Seni, pelbagai medium buangan diguna pakai semula seperti kabinet lama, papan kayu, enjin lama dan guni telah digubah menjadi satu nilai seni unik.

Ernest berkata, George Town banyak memberi inspirasi buatnya menghasilkan karya seni.

“George Town memberi inspirasi yang banyak.

“Dari segi rakyatnya, kecantikan, budaya dan warisan di Pulau Pinang adalah sebab utama kenapa saya memilih untuk mengadakan pameran solo pertama di sini (Pulau Pinang),” ujarnya di tapak pameran beliau di sini baru-baru ini.

Hadir sama menyaksikan hasil seni Ernest adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng Pengurus Besar Lum Choon & Co. Sdn. Bhd., Tan Shih Thoe yang juga pemilik kepada bangunan depot lama Bas Hin dan Pengurus kepada Ernest Zacharevic, Gabija Grusaite.

Guan Eng berkata, seni akan menjadi lebih bermakna apabila boleh membuatkan orang lain gembira.

“Kita sebagai rakyat Pulau Pinang berbangga apabila Ernest memilih negeri ini sebagai tempat pameran solonya yang mana inisiatif tersebut akan memberi dorongan kepada pelukis seni lain untuk ke sini.

“Kita (Kerajaan Negeri) sentiasa mengalu-alukan dan bersifat terbuka dalam menerima pelukis seni untuk mempamerkan idea, kreativiti dan bakat seni mereka,” ujarnya.

Sejurus selesai pameran yang berlangsung selama sebulan bermula 17 Januari hingga 14 Februari ini, beberapa karya Ernest akan dipindahkan ke Marina Straits Quay, Tanjung Tokong untuk tontonan umum.