Pameran warisan dan pelancaran buku sejarah India Muslim sebagai rujukan generasi akan datang

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap melalui siri pameran dan pelancaran buku sejarah masyarakat India Muslim dari Kadayanallur dan Tenkasi dapat menarik lebih ramai pihak mengenali khazanah warisan yang berharga untuk dijadikan rujukan generasi akan datang.


Malah, beliau turut percaya bahawa siri pameran gambar-gambar warisan dan juga pelancaran buku berkonsepkan tradisi serta sejarah masyarakat berkaitan mampu menjadi pemangkin kepada kreativiti dan inovasi yang mampan.

 

“Kerajaan Negeri bersyukur kerana semua pihak, daripada George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan lain-lain agensi sehingga komuniti tempatan mengambil bahagian dalam bersama-sama mengurus, memulihara dan mempromosikan tapak warisan ini.

 

“Saya percaya bahawa melalui siri pameran dan pelancaran buku warisan ini mampu menjadi pemangkin kepada kreativiti dan inovasi yang mampan.

 

“Malah, adalah diharapkan juga ia akan menarik lebih ramai pihak untuk mengenali khazanah warisan berharga sebagai rujukan generasi akan datang terutamanya dalam memahami asal usul dan kebudayaan masyarakat India Muslim,” ujarnya pada  Majlis Pameran Warisan dan Pelancaran Buku Sejarah Kaum India Muslim dekat bangunan Persatuan Anjuman Himayathul Islam, Lebuh Chulia di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan Presiden-presiden pertubuhan Muslim Pulau Pinang.

 

Kon Yeow dalam pada itu turut memaklumkan bahawa sambutan Ulang Tahun George Town Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO tahun ini turut dilawati oleh wakil pejabat UNESCO Jakarta.

 

“Sebagai tapak warisan, pihak UNESCO juga berpuas hati dengan pengururusan GTWHI yang menerajui pemegang taruh serta terlibat dalam kerja-kerja pemuliharaan bangunan-bangunan agar mematuhi garis panduan ditetapkan.

 

“Saya harap lebih ramai lagi komuniti dapat tampil anjurkan pebagai acara berkonsepkan penyatuan kepelbagaian kaum yang hidup dengan harmoni dan menganggap satu sama lain sebagai saudara mara di George Town ini,” serunya yang juga ADUN Padang Kota.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : DARWINA MOHD. DAUD