GEORGE TOWN – Isu membabitkan sungai yang tercemar di negeri Pulau Pinang memerlukan proses dan tempoh masa yang sewajarnya untuk dipulihkan.
Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Kerajaan Negeri memandang serius isu pencemaran sungai dan telah mengambil beberapa pendekatan dalam menangani isu tersebut secara tuntas.
Antaranya melalui pemeriksaan, pemantauan dan kawalan aktiviti seperti terkandung dalam Enakmen Penternakan Babi 2016 misalnya, yang mana melalui penguatkuasaan enakmen ini, semua penternak babi diwajibkan melaksanakan penternakan secara ladang tertutup.
“(Dan) ia menjadi sebahagian syarat sebelum lesen pengoperasian ladang diberikan (kepada penternak babi) oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri.
“Mana-mana ladang babi yang gagal mematuhi tidak akan diberikan lesen,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media sejurus hadir menyempurnakan pecah tanah di Kota Cornwallis pagi ini.
Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan memberitahu bahawa isu pencemaran sungai terutama di Sungai Kereh dekat Tasek Gelugor, seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan di Parlimen baru-baru ini, adalah berpunca dari aktiviti penternakan babi.
“Isu ini sedang diuruskan dan mengambil masa sewajarnya supaya pencemaran di sungai terbabit atau mana-mana sungai di negeri ini dapat dikawal sepenuhnya,” katanya.
Terdahulu, Wan Saiful mendakwa bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang gagal mengatasi masalah pencemaran sungai yang berlaku di negeri ini dengan mengambil contoh situasi pencemaran di Sungkai Kereh.
Enakmen Penternakan Babi 2016 turut menggariskan syarat pematuhan Amalan Ladang Penternakan Yang Baik (GAHP) dan kumbahan sifat kepada para penternak.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI