GEORGE TOWN – Panggilan Penyataan Minat (Request for Expressions of Interest, EOI) bagi cadangan pembangunan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (Penang International Financial Centre, PIFC) dibuka mulai 17 hingga 26 Mac 2025.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa cadangan pembangunan tersebut adalah selaras dengan peranan Pulau Pinang sebagai hab perdagangan serantau yang semakin meningkat terutama dalam sektor pembuatan dan teknologi.
“Pulau Pinang yang sering dikenali sebagai ‘Silicon Valley of the East’, berada dalam kedudukan baik untuk membangunkan ekosistem kewangan dinamik yang menyokong pertumbuhan industri terutamanya industri semikonduktor dan berteknologi tinggi.
Maka, penubuhan PIFC ini adalah bertujuan untuk menarik aliran dana untuk memajukan industri semikonduktor di Koridor Utara, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
“Ia juga akan mengembang pelaburan yang diterajui oleh pemain industri (sekali gus) saling melengkapkan pusat kewangan sedia ada dalam negara dengan menarik sumber modal baharu untuk inovasi kewangan.
“Selain itu, PIFC juga dapat mempelbagaikan peluang pekerjaan terutama dalam sektor perkhidmatan profesional serta meningkatkan hasil negeri dan negara melalui peningkatan produktiviti secara keseluruhannya.
(Dan) seterusnya, kita (Kerajaan Negeri) percaya ia akan merancakkan pertumbuhan sosioekonomi negeri Pulau Pinang,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 19 Mac 2025.
Hadir sama, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye dan Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo.
Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memaklumkan bahawa sepucuk surat rasmi telah dikemukakan kepada Perdana Menteri pada 13 Mac 2025.
“(Surat rasmi tersebut) menyatakan komitmen dan hasrat kami (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) untuk menubuhkan PIFC.
“Jadi, kami berharap mendapat sokongan daripada Kerajaan Persekutuan untuk menjayakan inisiatif ini (sekali gus) menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam inovasi kewangan dan pembangunan industri.
Tambahan pula, ini merupakan sesuatu yang baharu untuk Pulau Pinang dalam usaha mempelbagaikan sektor tanpa hanya bergantung pada sektor elektrik dan elektronik (E&E) sahaja.
“Oleh itu, saya mempelawa mana-mana pihak yang berminat terutama pihak swasta yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dengan kedudukan kewangan yang kukuh untuk mengemukakan minat dan membantu menjayakannya (penubuhan PIFC),” jelasnya.
Difahamkan, dokumen EOI boleh diambil di pejabat Penang Institute di No. 10, Jalan Brown mengikut waktu pejabat dan semua cadangan perlu dihantar sebelum jam 12.00 tengah hari pada 19 Mei 2025.
Terdahulu, pihak Penang Institute turut memuat naik suapan di laman Facebook rasminya berhubung perkara sama.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD