Pangsapuri Sri Saujana terima tiga lif baharu

Admin
居民感谢山达拉祖和王宇航协助提升房屋措施。

PENGKALAN KOTA – Kerajaan Negeri di bawah tadbir urus yang Cekap, Akauntabiliti dan Telus, komited melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap kesemua perumahan awam dan swasta yang layak di negeri ini.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo memaklumkan bahawa sejak tahun 2008 sehingga awal Oktober 2023 sebanyak 35,777 kerja penyelenggaraan telah dijalankan bagi kesemua skim perumahan yang layak.

“Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM348.5 juta melibatkan projek penyelenggaraan rumah awam; perumahan di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP).

“Di bawah TPM80PP, sebanyak 728 bilangan kerja penyelenggaraan melibatkan kerja menaik taraf atau menggantikan lif baharu, menggantikan tangki air atau menaik taraf sistem perpaipan serta penggantian bumbung dan lain-lain lagi,” ujarnya semasa sesi sidang media dekat Pangsapuri Sri Saujana baru-baru ini.

S. Sundarajoo (berbaju biru) semasa gimik pemotongan reben lif baharu baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Ketua Pegawai Bisnes Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Fakhrurrazi Ibnu Omar; Ketua Pegawai Operasi LPNPP, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff serta wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Dalam sesi yang sama, Sundarajoo turut memberitahu bahawa sesetengah kerosakan yang berlaku berpunca daripada penduduk yang mensabotaj kawasan perumahan berkenaan.

“Penduduk dinasihatkan agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga dan memulihara kawasan perumahan dek perlakuan vandalisme sebegini benar-benar merugikan orang sekeliling.

“Pangsapuri Sri Saujana mempunyai 3 bangunan yang turut mempunyai 23 tingkat melibatkan sebanyak 2,256 unit kediaman beserta sejumlah 18 lif dan 6 lif di setiap bangunan.

“Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan tiga lif di Blok 42A, 42B dan 42C pangsapuri berkenaan telah menelan kos pembaikan dan penggantian sebanyak RM236,400 dan telah siap sepenuhnya pada 10 Februari 2023 lalu,” jelasnya.

Tambah beliau, kempen kesedaran sivik bersama pihak JMB bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

Dalam sesi yang sama, Sundarajoo turut menyeru individu yang memohon rumah mampu milik melalui Sistem Maklumat Perumahan (SMP) sebelum tahun 2020 dipelawa untuk mengemas kini permohonan masing-masing sama ada secara dalam talian atau secara terus di Tingkat 3 Komtar.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD