Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
BATU UBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan menyelar pihak pemaju yang dipercayai menggunakan kawasan di Kampung Sungai Dua di sini sebagai tempat mengadun pasir sebelum dibawa ke tapak projek.
Bertindak berdasarkan aduan orang awam, Jayabalan bersama beberapa anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menyerbu lokasi pengadunan pasir tersebut baru-baru ini.
“Malangnya, bila kita datang ke sini, semua seolah-olah tiada sebarang aktiviti dijalankan dan lihat kawasan dikenalpasti juga sungguh lengang.
“Saya kesal dengan perbuatan seperti ini, kerana ianya dilakukan di satu kawasan yang memang tidak bersesuaian langsung,’’ tegasnya ketika ditemui pada operasi serbuan tersebut di sini baru-baru ini.
Menurut Jayabalan, aktiviti sebegitu pada cuaca kering akan mengundang masalah debu teruk dan boleh menjejaskan kesihatan
penduduk yang mempunyai masalah lelah serta berkaitan paru-paru.
“Apabila cuaca hujan pula, ianya akan menyebabkan air bertakung di bahagian laluan tepi lalu mengundang pula masalah denggi, lumpur dan kekotoran,” jelasnya.
Mengulas lanjut , beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri bukannya bersifat anti pembangunan, namun, aktiviti sebegini haruslah dijalankan di tempat sesuai dan bukannya berhampiran kawasan penempatan.
“Pemantauan tetap akan dijalankan dari semasa ke semasa sehingga aktiviti ini berjaya dihentikan demi kesejahteraan penduduk,’’ ujar Jayabalan.