Papan iklan wajar diurus secara langsung oleh majlis – Ahli Majlis MPPP, Prem Anand

 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: IDZHAM AHMAD & FAIL MPPP

PREM Anand.
PREM Anand.

PERCAYA atau tidak, hampir 90 peratus papan iklan di bahu-bahu jalan sekitar Georgetown langsung dibina secara ‘haram’.

Mereka yang berkenaan bukan sahaja tidak memohon lesen daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), malah tiada insurans bagi papan-papan mega berkenaan jika tumbang ke atas mana-mana premis atau kehilangan jiwa.

Wartawan Buletin Mutiara (BM) ZAINULFAQAR YAACOB ada butirannya hasil wawancara dengan Ahli Majlis MPPP, PREM ANAND.

BM : Sejauhmana papan iklan ‘haram’ ini wujud di Pulau Pinang?

Prem : Sukar untuk mencari papan iklan yang sah mendapat lesen daripada majlis (MPPP) sama ada di jalan bandaran hatta di sekitar lebuh raya sendiri. Ada syarikat-syarikat ini sudah mempunyai nama yang begitu besar di negeri ini. Kalau disebut, tentu ramai yang terkejut kerana perniagaan mereka pun dilakukan secara
‘haram’. Papan iklan haram yang banyak ini sebenarnya wujud sejak zaman kerajaan Barisan Nasional (Pulau Pinang) dulu lagi. Tiada (pihak berkuasa) yang melarang (tetapi) yang membuat perniagaan, ada. Sekarang, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru mula menangani kes-kes ini secara cermat dan berperingkat sebab kepimpinan kerajaan (Pulau Pinang) yang baru mahu rakyat melihat perbezaan antara urus tadbir pihak berkuasa tempatan (PBT) sekarang ini mesti lebih baik dari (era kerajaan negeri) dahulu.

WAWANCARA bersama Prem Anand (tengah) sambil ditemani Pegawai Bahagian Perlesenan MPPP, Mohd . Nazree Mohd. Jefri (kanan).
WAWANCARA bersama Prem Anand (tengah) sambil ditemani Pegawai Bahagian Perlesenan MPPP, Mohd . Nazree Mohd. Jefri (kanan).

BM : Bolehkah Tuan menjelaskan mengenai langkah-langkah MPPP yang dikatakan cermat serta berperingkat dalam menangani isu papan tanda ‘haram’ ini?

Prem : Selepas penguatkuasaan dilaksanakan, majlis menerima 325 permohonan. 216 daripadanya diluluskan. 109 lain ditolak kebanyakannya disebabkan syarikat-syarikat iklan terbabit sendiri tidak menyerahkan semula beberapa dokumen permohonan kepada MPPP secara lengkap. Sehingga hari ini, kira-kira 13 papan iklan ‘haram’ telahpun diturunkan. Salah satunya, kita turunkan selepas dikesan syarikat pengiklanan terbabit telah mengupah kontraktor untuk menebang pokok yang kita (MPPP) tanam dengan tujuan untuk mendirikan papan iklan haram. Dalam bulan ini (Disember) juga, akan diadakan taklimat daripada (Bahagian) Perlesenan, (Bahagian) Kejuruteraan dan (Bahagian) Penguatkuasaan untuk menyelaras garis panduan. Kalau boleh, urusan papan iklan ini diuruskan secara langsung oleh majlis (MPPP) sebagaimana di MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor), di mana hasil kutipan pengiklanan yang diselaraskan oleh majlis tersebut berjaya mencecah lebih RM7 juta setahun (2010). Bayangkan sekiranya urusan perlesenan dan kutipan ini dirundingkan secara berpusat oleh majlis sahaja, kira-kira RM7 juta mungkin boleh disalurkan pada MPPP dan Kerajaan Negeri.

KERJA-kerja menurunkan papan tanda ‘haram’ di George Town bukti komitmen Bahagian Penguatkuasaan MPPP.
KERJA-kerja menurunkan papan tanda ‘haram’ di George Town bukti komitmen Bahagian Penguatkuasaan MPPP.

BM : Soalan ini mungkin sedikit di luar konteks. Adakah Tuan berpuas hati dengan inisiatif yang telahpun berjaya dilakukan ini demi memenuhi kepentingan negeri dan rakyat?

Prem : Apa yang kita buat sekarang masih belum memadai untuk menjadikan George Town benar-benar diangkat sebagai bandar raya pintar bertaraf antarabangsa. Ketua Menteri Pulau Pinang (Y.A.B Tuan Lim Guan Eng) mahu pengurusan MPPP lebih pintar (supaya) rakyat merasai perkhidmatan yang setimpal dengan cukai yang mereka bayar. Kalau ditanya saya sendiri, saya sendiri pernah jadi orang bawahan ketika era kerajaan (negeri) lama. Saya selalu gesa penguatkuasaan itu dan ini demi kepentingan rakyat terbanyak di kawasan yang saya duduk (iaitu) Seri Delima. Longkang tersumbat, saya bising (desak MPPP bertindak). Jalan rosak, saya bising. Banjir kilat dan lumpur berlaku di beberapa rumah di Kampung Paya Terobong berlaku, saya bising. Peluang menjadi ahli majlis sekarang ini, saya manfaatkan betul-betul, sehingga beberapa masalah sejak 20 tahun lepas berjaya diselesaikan dalam dua tahun ini dengan sokongan majlis dan rakyat setempat sendiri. Peruntukan saya sebagai ahli majlis sekarang pun habis lebih awal pun, tak mengapa demi kepuasan hati rakyat. Kalau tanya saya, soronokkah jadi ahli majlis? Saya kata, cukup mencabar, (iaitu) bukan senang atau boleh hidup mewah sebagaimana yang dianggap oleh orang awam ke atas segelintir ahli majlis pada era kerajaan Pulau Pinang yang lama dulu.

KESAN pokok yang ditebang secara haram di sekitar George Town bagi memenuhi perniagaan papan iklan ‘haram’.
KESAN pokok yang ditebang secara haram di sekitar George Town bagi memenuhi perniagaan papan iklan ‘haram’.


BM : Sebagai pengakhiran, kalau boleh dikongsi, apakah harapan atau mungkin cita-cita yang masih belum Tuan realisasikan selama dilantik sebagai Ahli Majlis di MPPP ini?

Prem : Saya seperti rakyat yang lain, mahu negeri ini menjadi lebih baik apabila Kerajaan Negeri yang baru memerintah. Saya mahu negeri ini menjadi destinasi pilihan bagi perkampungan rakyat selain pelancong kerana mengamalkan integriti serta mempunyai pemandangan yang bersih dan hijau. Lebih 50 tahun, Malaysia khususnya Pulau Pinang dibelenggu dengan pelbagai masalah yang saya yakin kita semua tahu, inilah masanya untuk MPPP berusaha melakukan sesuatu yang lebih baik untuk kepuasan pembayar-pembayar cukai di negeri ini.