Para pemenang pertandingan anjuran Buletin Mutiara, PTPTN sempena bulan kemerdekaan dimuktamad

Admin
whatsapp image 2024 10 09 at 12.52.58

GEORGE TOWN – Seramai lapan pemenang bagi Peraduan Bakat Si Cilik – Mewarna Siri 3/2024 sempena bulan kemerdekaan telah dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

 

Selain itu, tiga pemenang Pertandingan Melukis Poster Siri 3/2024 bertemakan ‘Merdeka Daripada Hutang, Simpan Untuk Masa Depan’ turut dimuktamadkan hari ini.

 

Sesi penjurian peringkat akhir disempurnakan oleh empat juri iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Lee Boon Heng; Pengarah Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abd. Rahman; Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Mohamad Balkish Othman dan Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Pulau Pinang, D. Ambika Dewi.

whatsapp image 2024 10 09 at 12.53.00
MUHAMMAD Muhsin Abd. Rahman.

Sementara itu, Muhammad Muhsin ketika ditemui berkata, pihaknya gembira dengan usaha kolaborasi antara Buletin Mutiara dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam penganjuran pertandingan kali ini.

 

“Penganjuran peraduan ini merupakan kerjasama yang julung kali diadakan antara PTPTN dengan sidang redaksi Buletin Mutiara.

 

“Jika dilihat dari segi penyertaan selama tiga bulan iaitu dari Julai sehingga September, sememangnya amat menggalakkan, malah terdapat juga penyertaan dari luar Pulau Pinang.

 

Saya juga amat teruja dan saya percaya para juri juga, kerana kita dapat melihat kreativiti para peserta terutama bagi pertandingan melukis poster, walaupun hanya berdasarkan tema diberikan.

 

“Saya yakin melalui penganjuran pertandingan sebegini, ia dapat memberi galakan terutama kepada ibu bapa untuk menabung bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak pada masa hadapan.

 

“(Dan) pada masa sama, dapat mewujudkan kesedaran mengenai literasi kewangan serta mendidik para peserta untuk membuat simpanan melalui tabungan atau Simpan SSPN (Skim Simpanan Pendidikan Nasional).

 

“InsyaAllah, jika berpeluang PTPTN berhasrat untuk menjalinkan kerjasama serupa memandangkan Buletin Mutiara bukan hanya menjadi wadah informasi di Pulau Pinang tetapi juga seluruh Malaysia,” ujarnya.

whatsapp image 2024 10 09 at 12.52.58 (1)
(Dari kiri), MUHAMMAD Muhsin Abd. Rahman, Lee Boon Heng, D. Ambika Dewi dan Mohamad Balkish Othman meneliti salah satu hasil karya peserta pada sesi penjurian di sini, tadi.

Bagi Boon Heng yang juga merupakan Ahli MMK Komunikasi, memuji kolaborasi antara Buletin Mutiara dan PTPTN dalam penganjuran pertandingan melukis dan mewarna.

 

Paling utama adalah elemen kesedaran yang diterapkan melalui penganjuran pertandingan ini yang dilihat dapat memberi galakan untuk menabung.

 

“Pada masa hadapan, mungkin dapat dilaksanakan pertandingan dengan elemen berbeza-beza seperti kebersihan pantai atau tatacara membuang sampah…selaras dengan Visi Penang2030,” jelasnya yang turut kagum dengan ekspresi kreativiti para peserta.

 

Begitu juga Ambika Dewi dan Mohamad Balkish yang turut bersetuju untuk menerapkan elemen berbeza-beza dalam penganjuran pertandingan melukis poster dan mewarna pada masa hadapan.

 

“Misalnya, pengurusan bencana dari sisi pandang kanak-kanak, apa yang mereka tahu dan nampak atau suasana ketika bencana, mungkin,” kata Ambika Dewi yang ingin melihat visualisasi idea dan kreativiti kanak-kanak.

 

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi, Yap Lee Ying sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada para juri yang telah meluangkan masa menghadiri sesi penjurian pada kali ini.

 

Bagi siri 3/2024 kali ini, penyertaan bagi pertandingan melukis poster dan mewarna amat menggalakkan apabila ramai peserta dari luar Pulau Pinang yang menyertainya.

 

“Cuma bagi Pertandingan Video Pendek Siri 3/2024, tiada pemilihan pemenang dijalankan pada sesi penjurian kali ini kerana penyertaan yang diterima tidak menepati terma dan syarat pertandingan.” jelasnya.

 

Peraduan Bakat Si Cilik – Mewarna, Pertandingan Melukis Poster dan Pertandingan Video Pendek kali ini menawarkan hadiah berupa wang tunai dan simpanan melalui Simpan SPPN.

 

Berikut adalah senarai para pemenang mengikut kategori :

Peraduan Bakat Si Cilik Mewarna – ‘Merdeka Daripada Hutang, Simpan Untuk Masa Depan’ 

  • Pertama – How Yu En

  • Kedua – Setor Zi Cheng

  • Ketiga – Puteri Izzati Mohd. Fairuz

  • Saguhati – Nur Batrisya Bahatan Subhi; Adifa Muhammad Adlan; Beh Shao Wei; Tan Zhi Qi dan Ong Da Niel

 

Pertandingan Melukis Poster – ‘Merdeka Daripada Hutang, Simpan Untuk Masa Depan’  

  • Pertama – Suriati Mustafa @ Mamat

  • Kedua – Setor Ying Er

  • Ketiga – Chew Yu Qi

 

Para pemenang akan dihubungi oleh pihak penganjur dalam masa terdekat untuk tuntutan hadiah. Tahniah kepada semua pemenang!

 

Gambar : ALISSALA THIAN