Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap Penang Paradigm atau Paradigma Pulau Pinang mampu mengantarabangsakan negeri sebagaimana diimpikan Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, pelan induk pembangunan sepuluh tahun (2013-2023) itu mampu direalisasikan kerana proposal perancangan menumpu pada aspek kecerdasan ekonomi, kesesuaian, kelestarian serta pembangunan sosial yang mapan.
“ Paradigma Pulau Pinang penting ke arah merealisasikan aspirasi Pulau Pinang ke arah pengantarabangsaan,” ujarnya dalam Seminar Promosi Pelaburan Negeri Pulau Pinang di Singapura baru-baru ini.
Beliau berkata, pelan tersebut digagaskan ke arah meningkatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, menyurai kesesakan trafik, menyediakan secukupnya rumah mampu milik serta menjadikan negeri berkenaan lebih bersih, hijau, selamat dan sihat.
“Kita perlu terus membina kemahiran dan institusi yang akan menyokong kepelbagaian, seterusnya ke arah pelaburan produktif yang
lebih tinggi melalui peningkatan modal insan.
“Ketidaksaksamaan sosioekonomi masa kini menjadi halangan kepada pertumbuhan ekonomi, namun, melalui program-program kebajikan Kerajaan Negeri, kita yakin kita berada di landasan yang betul,” ujar Ahli Parlimen Bagan itu lagi.
Justeru, beliau berharap Paradigma Pulau Pinang akan terus memacu Pulau Pinang meneraju pembangunan dan kemajuan di negara ini.
Berikut adalah lima langkah pelaksanaan yang digariskan dalam :
1. Membasmi kemiskinan dan
mengurangkan jurang sosioekonomi.
2. Melaksanakan dasar hijau
untuk mencapai kelestarian alam
sekitar.
3. Membangun, menarik dan
mengekalkan modal insan diperlukan
untuk bersaing di peringkat global.
4. Memperkasa rakyat melalui
proses demokrasi.
5. Memerangi rasuah dan
kronisme melalui tadbir urus yang
cekap, akauntabel, telus serta bersih.