Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Sempena 5th Tourism Promotion Organization Forum 2012 (TPOF12) yang bakal berlangsung pada 5 September hingga 7 September ini, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) selaku tuan rumah telah mengambil inisiatif menganjurkan sukan luncur udara bermotor membabitkan penerbangan paramotor dan senamrobik di Esplanade, Jalan Padang Kota Lama pada 1 Julai ini di sini.
Menurut Pengarah Jabatan Rekreasi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa MPPP, Mohamed Akbar Mustapha, seramai 11 penerbang paramotor akan beraksi pada hari tersebut sambil membawa endera-bendera khas merentasi beberapa lokasi tumpuan seperti Tanjung Pinang, kuil Kek Lok Si, Air Itam, Komtar dan Kota Cornwallis di sini.
“Selain itu, kita juga akan mengadakan senamrobik yang bakal diterajui Jeorge Subramaniam dan Mansor Mat dari Persatuan Kesihatan dan Kecergasan Fizikal Pulau Pinang.
“Kita menjangkakan penyertaan seramai 2,000 peserta dan t-shirt percuma (terhad kepada 2,000 peserta) turut disediakan pada pagi penganjuran,” ujar Akbar yang turut kagum dengan semangat dan usaha yang ditunjukkan oleh pertubuhanpertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menjayakan TPOF12.
Akbar berkata demikian pada majlis sidang media bagi mengumumkan penganjuran sukan luncur udara bermotor bersempena TPOF12 di sini baru-baru ini.
Pulau Pinang telah mencatat sejarah apabila terpilih menjadi tuan rumah TPOF12. Seramai 68 Datuk Bandar (City Mayor) dan 32 ahli perindustrian pelancongan ( Tourism Industry Members) dijangka akan berada di Bandaraya George Town bersempena penganjuran tersebut.
Dalam pada itu, Akbar memberitahu bahawa beliau amat yakin MPPP dengan sokongan Kerajaan Negeri dan NGO mampu menjadikan penganjuran TPOF12 sebagai suatu yang signifikan dan terbaik.
Beliau dalam pada itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada ahli paramotor professional negara, Kapten (B) Datuk Barry K.K Tan dan Tan Chee Kuang di atas kesudian mereka mengetuai acara paramotor yang bakal menjadi salah satu daya tarikan kepada golongan belia khususnya.
Bagi yang ingin menyertai acara senamrobik, boleh hubungi Cheng Beng Lock di talian 016- 413 2881 untuk prapendaftaran.