PERMATANG BERANGAN – Paras air di tiga empangan utama di negeri ini masih terkawal dan mencukupi untuk disalurkan kepada pengguna semasa sambutan perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan bekalan air mencukupi termasuk memantau paras air di Sungai Muda yang membekalkan 85 peratus air mentah ke negeri ini.
“Sekarang paras air Sungai Muda adalah melebihi dua meter (m) iaitu di atas paras kritikal sekali gus mampu membekalkan air mentah kepada loji rawatan air di negeri kita.
“Saya boleh katakan bahawa gangguan bekalan air disebabkan paras air empangan mungkin tidak akan berlaku melainkan wujudnya perkara-perkara di luar jangkaan kita seperti banjir di Baling dan sebagainya.
“Oleh itu, penduduk tidak perlu bimbang kerana bekalan air dari empangan di negeri ini masih lagi mencukupi untuk sambutan Aidilfitri ini,” katanya kepada pemberita pada Program Bubur Lambuk Bersama Ketua Menteri dekat Masjid Jamiul Sharif Pokok Machang di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa sehingga pagi ini, kapasiti efektif di Empangan Air Itam adalah pada paras 35 peratus manakala Empangan Teluk Bahang dan Empangan Mengkuang masing-masing pada 67.9 peratus serta 89.7 peratus.
Memurut beliau, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah melaksanakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) bagi memastikan paras air di Empangan Air itam tidak turun pada paras negatif.
“Pelan tindakan ini telah meningkatkan kapasiti efektif empangan sebanyak 4.5 peratus iaitu daripada 32 peratus pada Februari 2024 kepada 38 peratus pada pertengahan Mac lalu.
“Pada masa sama, kita juga telah mengambil tindakan mengurangkan penyampaian air mentah dari Empangan Air Itam ke loji rawatan iaitu daripada 10,000 akaun pada kebiasaanya kepada 4,000 hingga 5,000 pengguna sahaja.
“Oleh itu, kita perlu pam lebih banyak air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua bagi menampung bekalan kepada lebih 5,000 pengguna yang tidak dapat menerima bekalan air dari Empangan Air Itam,” ujarnya lanjut.
Tambah Kon Yeow, Pulau Pinang dijangka menerima taburan hujan yang mencukupi menjelang pertengahan April 2024 untuk menambah kapsiti air di tiga empangan utama di negeri ini.
“Kita harap pada musim hujan April hingga Mei ini, semua empangan utama di negeri ini dapat diisi dengan sepenuhnya supaya penggunaannya dapat bertahan sepanjang musim kering akan datang,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI