Paras air tiga empangan negeri terkawal, respons Ketua Menteri

Admin
fa71ad16 5709 4a39 b926 45f6da5b8c2f KETUA Menteri

GEORGE TOWN – Paras air ketiga-tiga empangan negeri dekat Air Itam, Teluk Bahang dan Mengkuang adalah dalam keadaan terkawal sungguhpun cuaca semasa negeri masih panas.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata demikian dalam sidang media berkaitan seusai merasmikan Karnival Inspirasi Wanita Hebat di sini pada 9 Mac 2024.

“Paras air empangan (negeri) masih dalam kawalan, tidak banyak berubah.

“Paras air di Empangan Air Itam masih 38.1 peratus ekoran pelaksanaan (langkah-langkah kontingensi di bawah) Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024).

“Begitu juga keadaan (paras air) di Empangan Teluk Bahang dan Empangan Mengkuang disebabkan paras air Sungai Muda pun terkawal dan sihat,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Menurut Kon Yeow, paras air semasa di Empangan Teluk Bahang adalah 76.2 peratus, sementara di Empangan Mengkuang pula 89.7 peratus.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, beliau berkata pentadbirannya akan terus memantau keadaan cuaca termasuk pelaksanaan operasi pembenihan awam.

“Setakat ini, kita (Kerajaan Negeri) akan terus memantau (keadaan cuaca), termasuk operasi pembenihan awan,” ujarnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & video : ALISSALA THIAN