Paras empangan rendah, PBAPP saran kurangkan penggunaan air harian

Admin
whatsapp image 2024 07 25 at 14.03.41

GEORGE TOWN – Kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang adalah rendah disebabkan cuaca kering luar biasa sejak suku terakhir tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. K. Pathmanathan melalui kenyataan medianya hari ini berkata, fenomena cuaca panas bukan sahaja menjejaskan empangan di Pulau Pinang.

 

“Malah, ia juga menjejaskan empangan utama di negeri jiran, Kedah dan Perak yang hanya mungkin boleh diisi semula dengan hujan.

 

Sehingga semalam (19 Ogos 2024), kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah 27.6 peratus; Empangan Teluk Bahang (25.2 peratus); Empangan Muda di Kedah (7.8 peratus); Empangan Beris (53.9 peratus) dan Empangan Bukit Merah di Perak (33.0 peratus, bacaan pada 12 Ogos)

 

“Sementara itu, kapasiti di Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) adalah 86.3 peratus,” ujarnya.

 

Menurut Pathmanathan, pada 19 Ogos 2024, paras Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang adalah 3.06 meter iaitu 1.0 meter di atas paras selamat 2.0 meter yang mana PBAPP mengabstrak air mentah dari sungai ini setiap hari untuk digunakan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai Utara (SPU).

 

“Kawasan perkhidmatan bagi LRA Sungai Dua bukan sahaja di Seberang Perai malahan merangkumi kawasan berpenduduk tinggi di daerah Barat Daya dan beberapa kawasan di daerah Timur Laut di bahagian pulau termasuk Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas.

 

“Kira-kira 465,000 pengguna atau sekitar 66.7 peratus mendapat bekalan air dari LRA Sungai Dua, ini bermakna tiada ancaman serta-merta kepada 66.7 peratus pengguna ini memandangkan paras air di Sungai Muda secara relatifnya ‘sihat’ buat masa ini.

 

Cuma kawasan yang menjadi perhatian adalah kawasan perkhidmatan bekalan air Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang yang membekalkan air kepada kira-kira 28,948 pengguna di Air Itam, Farlim serta kawasan berhampiran.

 

“(Dan) kira-kira 45,850 pengguna di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bunga serta kawasan sekitarnya yang mendapat bekalan air dari Empangan Teluk Bahang,” katanya.

 

Mengulas lanjut, Pathmanathan memberitahu bahawa kedua-dua empangan tersebut telah direka bentuk dan dibina untuk diisi semula oleh hujan dan tidak boleh diisi semula dengan cara lain.

 

“Maka, dengan mengambil kira spesifikasi utama ini, PBAPP melaksanakan langkah mitigasi untuk pertahankan baki rizab empangan.

 

“PBAPP mengepam sehingga 33 juta liter sehari (JLH) air terawat ke kawasan perkhidmatan di Air Itam melalui Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024).

 

“PBAPP juga berhati-hati meminimumkan pengeluaran dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang dan pada masa sama mengawal pam serta injap di kawasan strategik untuk memastikan bekalan air mencukupi pada waktu puncak.

 

“PBAPP juga meneroka air hujan dari dua kawasan tadahan air tambahan iaitu di Batu Ferringhi dan Sungai Pinang untuk mengisi semula Empangan Teluk Bahang apabila hujan lebat.

 

“Selain itu, bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk meminta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menjalankan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan air Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang,” jelasnya.

 

Berikutan paras empangan di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang adalah rendah, Pathmanathan menyeru pengguna air untuk memainkan peranan dengan mengurangkan penggunaan air harian.

 

“Antaranya kurangkan basuh kenderaan kerana ia memerlukan penggunaan air yang tinggi dan sebagai alternatif, sila gunakan span atau kain dengan baldi.

 

“Elakkan gunakan hos untuk menyiram taman atau tanaman anda, sila gunakan tin penyiram dan jangan biarkan pili air mengalir kerana ia boleh membazirkan sehingga 20 liter air seminit.

 

Meskipun dalam tempoh 1 Ogos sehingga semalam (19 Ogos 2024) ada direkodkan sedikit hujan di kawasan tadahan air di Empangan Air Itam dan Empangan Bahang, namun ia tidak meningkatkan kapasiti efektif empangan terbabit.

 

“Hal ini kerana, PBAPP perlu melepaskan lebih banyak air dari empangan ini setiap hari untuk memenuhi permintaan atau dalam erti kata lain, pengguna air di kawasan ini pada masa sama menggunakan jumlah air yang lebih tinggi berbanding jumlah hujan diterima (di kedua-dua empangan).

 

“Jadi, sila kurangkan penggunaan air sehingga hujan tiba (mengikut ramalan) pada bulan September dan suku keempat 2024 untuk mengisi semula empangan ke paras selamat menjelang akhir tahun ini,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING