PADANG LALANG – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan terus memantau paras air di hilir lembangan Sungai Muda di Pulau Pinang serta semua empangan negeri.
Demikian respons Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika diminta mengulas kenyataan terbaru Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) berhubung Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) di Pulau Pinang diklasifikasikan mengalami cuaca panas tahap satu iaitu selepas mencatat suhu harian antara 35 hingga 37 darjah celsius.
“Saya mengambil maklum (dengan ramalan yang dikeluarkan) Jabatan Meteorologi yang mengisytiharkan beberapa tempat sebagai daerah paling panas termasuk SPU dan SPT, tetapi, perkara yang kita (Pihak Berkuasa Negeri) beri perhatian daripada segi isu air adalah paras (air) Sungai Muda masih melepasi had yang belum sampai kritikal (tahap) satu, dua atau tiga.
“Kita akan terus memantau paras air di Sungai Muda,” responsnya seusai berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang di sini pada 13 Februari 2024.
Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, cadangan pembenihan awan bagi menghadapi keadaan perubahan iklim panas juga perlu memenuhi beberapa kriteria berkaitan, sebelum dilaksanakan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi turut sertai sidang media bersama-sama Ketua Menteri tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD