GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MAINPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memang senantiasa memberi perhatian kepada sistem perparitan terutama yang berusia lebih 30 tahun untuk dinaik taraf dan seterusnya memainkan peranan bagi menampung kapasiti air hujan masa kini.
Mengulas lanjut, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata bahawa antara langkah awal yang diambil oleh Kerajaan Negeri melalui kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan adalah penyediaan senarai kawasan keutamaan ‘hotspot’ banjir.
Selepas itu, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga memberitahu bahawa juru ukur bertauliah akan dilantik bagi menjalankan kerja-kerja pengukuran aras serta penyediaan pelan utiliti berdasarkan keutamaan kawasan ‘hotspot’ banjir.
“Pelan reka bentuk terperinci kemudiannya akan disediakan sama ada secara dalaman di PBT bagi kajian berskala kecil atau lantikan perunding bagi kajian berskala besar untuk menaik taraf sistem perparitan yang berkenaan.
“Peruntukan bagi pelaksanaan hasil kajian akan dimohon melalui
Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Tebatan Banjir dan
juga kepada Kerajaan Persekutuan mengikut keutamaan kawasan
‘hotspot’ banjir tersebut.
“Walau bagaimanapun, pelaksanaan projek adalah tertakluk kepada kelulusan peruntukan yang diperoleh,” jelasnya sebagai menjawab Soalan Lisan daripada ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15 di sini pada 27 November 2023.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR