Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
GEORGE TOWN – Parkir bertingkat Bukit Benderavdijangka dibuka kepada orang ramai menjelang sambutan Tahun Baru Cina pada Februari 2015.
Kenyataan tersebut dinyatakan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Rosli Jaafar selepas menjalankan pemeriksaan khas di bangunan berkenaan di sini baru-baru ini.
Katanya, pembukaan parkir diharap dapat dilakukan dalam tempoh ditetapkan memandangkan PDC kini sedang dalam proses mendapatkan perakuan siap dan pematuhan daripada pihak-pihak berkaitan.
“Kerja-kerja membina semula bangunan parkir lapan tingkat ini telah selesai sepenuhnya.
“Kini, selain daripada perakuan siap dan pematuhan, pihak kami sedang menunggu sambungan bekalan air dan tenaga elektrik,” ujarnya di sini.
Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah PDC Consultancy Sdn. Bhd., Ng Wei Aik dan Soon Lip Chee.
Perancangan projek parkir bertingkat di bawah Kementerian Pelancongan tersebut bermula pada tahun 2006 dengan anggaran kos sebanyak RM5 juta.
Projek tersebut dibiayai pihak kementerian dan PDC merupakan pihak dilantik untuk membina bangunan berkaitan.
Ekoran beberapa isu, bangunan berkaitan terpaksa diroboh, direkabentuk, dan dibina semula pada tahun 2012 dengan kos kira-kira RM11.5 juta dibiayai sepenuhnya oleh PDC.
Menerusi rekabentuk baru, bangunan tersebut dibina lapan tingkat dengan menempatkan enam tingkat tempat letak kereta berserta 305 petak parkir (berbanding 96 petak parkir asal yang disediakan), ruang pejabat (1) dan ruang komersial (1).
Dalam pada itu, ketika diajukan soalan berhubung kelewatan projek, Rosli menjelaskan bahawa projek terbabit seharusnya siap pada 25 November tahun lalu (2013) sepertimana disyaratkan kepada kontraktor bertanggungjawab.
Jelas beliau, antara masalah utama yang menyebabkan kelewatan projek pembinaan ialah terdapat banyak bongkah batu bersaiz besar yang mengganggu kerja-kerja pembinaannya.
“Usaha memecahkan bongkah batu ini menggunakan bahan letupan adalah tidak sesuai disebabkan tempat pembinaan yang hampir dengan kediaman.
“Oleh sebab itu, bongkah batu ini dipecahkan sedikit demi sedikit dan proses ini memakan masa hampir enam bulan sehingga menyebabkan kelewatan tidak dapat dielakkan,” katanya.
Tambah Rosli, di atas kelewatan tersebut, PDC terpaksa mengenakan pampasan lewat siap (LAD) pada kadar RM5,000 sehari (bermula pada 26 September 2014) terhadap kontraktor berkenaan kerana gagal menyerahkan projek dalam tempoh yang dipersetujui.
“Penyerahan ini dijangka dapat dilaksanakan pada awal tahun depan.
“PDC selaku pengawal selia bangunan akan menentukan kadar bayaran parkir sewajarnya sebelum ianya dibuka kepada orang ramai,” ujar beliau.