Oleh: WA TAWA NATAF ZULKIFLI
GEORGE TOWN – Orang ramai yang meletak kenderaan di kawasan parkir seliaan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dapat menikmati kadar percuma sehingga dimaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit kelak.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, perkara tersebut adalah ekoran pihak pemegang konsesi iaitu syarikat Alam Indah Sdn. Bhd. gagal memenuhi permintaan semasa kupon para pengguna di sini.
“Sejak perlaksanaan sistem parkir berkupon pada 1 Januari lalu, orang ramai memberi respon begitu cepat dengan membeli stok kupon sehingga pihak pemegang konsesi gagal penuhi permintaan.
“Penangguhan sementara sistem ini akan berjalan seperti biasa semula setelah MPPP berpuas hati dan mendapati jumlah kupon baru dicetak mampu bertahan untuk jangka masa panjang tanpa berlakunya kehabisan stok seperti sekarang.
“Justeru, pengguna petak parkir MPPP boleh menikmati kadar percuma buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Yang di- Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail dan Setiausaha Perbandaran, Ar. Ang Aing Thye.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri turut mengarahkan MPPP supaya memantau dengan teliti perkara berbangkit tersebut bagi mengelakkan ianya berulang demi mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kreadibiliti sistem baru berkenaan.
“MPPP juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk menamatkan kontrak pihak pemegang konsesi jika didapati gagal menangani kes seperti ini,” tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.