Parti komponen PH Pulau Pinang diseru siap siaga hadapi PRU-15 – Kon Yeow

Admin

PERMATANG PASIR – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru parti komponen Pakatan Harapan (PH) negeri Pulau Pinang supaya sentiasa siap siaga dengan sebarang kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU-15) dalam tempoh kurang setahun ini.

 

Selaku Pengerusi PH Pulau Pinang, Kon Yeow dijangka memanggil mesyuarat parti komponen itu dalam masa terdekat memandangkan bahang PRU-15 semakin terasa.

 

“Walaupun tidak pasti bilakah PRU-15 akan diadakan, memandangkan terdapat pergolakan dalaman parti Umno sendiri yang tidak  membenarkan satu tarikh untuk dipilih dengan senang.

 

“Sebab ada pergolakan juga, maka rakyat tidak tahu, parti-parti juga tidak tahu sama ada PRU-15 akan diadakan dalam masa terdekat, dua, tiga bulan ini atau tunggu hingga tahun depan.

 

“Namun, saya seru pimpinan PH yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) serta Parti Amanah Negara (AMANAH) dan  parti-parti lain untuk siap siaga hadapi PRU-15 akan datang,” ujarnya pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Parti AMANAH Negeri Pulau Pinang bersama-sama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir Tahun 2022 dekat Dewan Orang Ramai Permatang Pasir di sini tengah hari tadi.

 

Turut hadir, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil; ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; ADUN Berapit Heng Lee Lee; Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr. Roslan Ahmad dan pimpinan PH negeri.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota memberitahu bahawa satu isu yang belum ada kepastian di Pulau Pinang adalah sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang akan diadakan bersama PRU-15.

 

“Majlis Pimpinan PH pernah buat keputusan dua, tiga bulan sebelum ini yang mana PH di tiga buah negeri akan mengadakan PRN secara berasingan.

 

“Namun, isu ini tidak ada ketentuan juga, perlu teliti perkembangan politik termasuklah memorandum persefahaman (MoU) Kerajaan Pusat dan PH yang akan tamat Julai ini, kelulusan undang-undang lompat parti peringkat Parlimen dan tarikh PRU-15 itu sendiri,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengingatkan rakan-rakan parti komponen agar tidak gentar berdepan pilihan raya memandangkan Kerajaan Negeri PH telah menunaikan 90 peratus janji manifesto yang mengandungi 68 perkara bagi negeri Pulau Pinang.

 

“Kita percaya dengan perestasi sedemikian, mari kita tekad bawa keputusan ini kepada rakyat.

 

“Kita perlu berani hadapi pengundi sebab kita sedaya upaya tunaikan janji kepada pengundi.

 

“Tidak perlu gentar atau kurang yakin sebab kita tidak belakangkan mandat dan sokongan yang diberikan pada PRU-14 lalu,” ulasnya lanjut.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gmabar & Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI.