GEORGE TOWN – Bagi merancakkan sektor pelancongan negeri sejajar dengan Tahun Melawat Pulau Pinang tahun hadapan, para penggiat industri pelancongan di negeri ini mengambil inisiatif dengan memperkenalkan Pas Tahunan Experience Penang 2020 baru-baru ini.
Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin menyifatkan idea pelaksanaan pas berkenaan mampu menarik lebih ramai pelancong domestik mahupun luar negara ke Pulau Pinang tahun hadapan.
“Sebagai exco pelancongan, saya sangat gembira apabila setiap penggiat industri di Pulau Pinang membuat pelbagai perancangan dan promosi dengan menawarkan kepelbagaian pakej pelancongan menarik sekaligus menjadikan negeri ini destinasi yang lebih ‘tertarik’ untuk dikunjungi.
“Pelancaran pas tahunan ini akan menjadi pemangkin kepada penggiat industri pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan juga luar negara.
“Saya percaya inisiatif ini turut akan membantu untuk menjayakan misi Tahun Melawat Pulau Pinang 2020 yang bertemakan ‘Experience Penang 2020’,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Pas Tahunan Penang Experience dan Pas Tahunan The Top, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pengurus Besar The Top, Joel Law.
Difahamkan, melalui pas Penang Experience, pelancong boleh menikmati pelbagai pakej yang ditawarkan di 20 destinasi serta lokasi yang mengambil bahagian pada satu harga.
Sebagai contoh sekiranya pengunjung membeli pas dewasa untuk dua hari yang merangkumi 20 lokasi, jumlahnya cuma RM289.
Berbanding harga asal, sekiranya masuk ke 20 lokasi tersebut pada harga berasingan, jumlah yang perlu dibayar adalah kira-kira RM710.
Pas tahunan berkenaan boleh didapati dengan melayari laman sesawang https://experiencepenang.com.my/en-MY/penang-playpass.
Serentak pelancaran tersebut, Joel turut mengumumkan pengenalan pas tahunan Taman Tema The Top yang menawarkan akses tanpa had 365 hari dengan harga serendah RM90 bagi kanak-kanak.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD