Pasang 528 CCTV dilengkapi fungsi analitik video, ke arah negeri selamat

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyasarkan untuk memasang 528 kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi dengan fungsi analitik video pada tahun ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, langkah tersebut adalah bertujuan mengoptimumkan penggunaan CCTV dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang selamat.

“Kerja-kerja menaik taraf CCTV yang berupaya mengesan dan mengenal pasti penjenayah ini akan membabitkan kos kira-kira RM12 juta.

Jagdeep Singh Deo menunjukkan salah satu CCTV yang telah dipasang di Jalan Perak.

“MBPP akan menambah baik fungsi analitik video dengan kerjasama IBM Malaysia Sdn. Bhd. yang mana komponen utama dapat mengesan kenderaan, pembuangan sampah secara haram, kawasan larangan tempat letak kereta dan sebagainya,” ujarnya pada sidang media selepas meninjau CCTV di Jalan Perak, di sini pada 4 Januari lalu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPP, A. Rajendran.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep memaklumkan bahawa sehingga tahun lepas, sebanyak 935 CCTV yang turut dilengkapi sistem pengecaman wajah telah dipasang di beberapa lokasi panas di bahagian pulau dan di Seberang Perai (136).

“Semua CCTV yang dipasang itu boleh dipantau oleh MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selain pihak polis di negeri ini.

“Setakat ini, kami berjaya membantu polis menyelesaikan kes samun wang RM231,000 di Sungai Nibong kerana terdapat CCTV di situ yang berjaya merakam dalang utama kejadian tersebut,” katanya lagi.

Sementara itu, Rajendran berkata, menerusi fungsi analitik video tersebut, video dan gambar yang dirakam oleh CCTV lebih jelas dan baik terutama ketika waktu malam malah rakaman itu mampu disimpan sehingga 45 hari.

“CCTV yang ada sekarang ini adalah antara yang terbaik, namun dengan sistem analitik video, kita dapat terus mengesan sebarang kesalahan dengan maklumat dihantar terus kepada sistem untuk tindakan petugas,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong yang ditemui berkata, pihak polis menyambut baik usaha Kerajaan Negeri untuk memasang lebih banyak CCTV yang dapat membantu pihaknya mengurangkan jenayah di negeri itu.

Beliau berkata, dengan bantuan CCTV pihaknya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes jenayah di daerah Timur Laut pada tahun lepas.

“Saya mencadangkan supaya lebih banyak kamera itu dipasang di lokasi strategik seperti kawasan bank, kedai-kedai emas dan tumpuan orang ramai,” sarannya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF