Pasang meter pintar di Pulau Pinang jangka siap 2026 – TNB

Admin
73df138e 97c1 4d7c b179 d5ab3cb0eb5b KETUA Menteri (empat dari kiri) menerima cenderamata daripada ketua delegasi TNB, Norhizami Abu Hasan (tiga dari kiri) seusai majlis kunjungan hormat di Komtar pada 5 Jun 2024.

GEORGE TOWN – Projek Infrastruktur Permeteran Maju (AMI) yang sedang dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di seluruh negeri Pulau Pinang dijangka siap pada hujung tahun 2026.

9b55cd20 4d52 4f77 9e3b 7ed3ea5fa583
Norhizami Abu Hasan

Pengurus Besar TNB Negeri, Norhizami Abu Hasan memberitahu perkara itu semasa mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat Komtar pada 5 Jun 2024.

“Pada tahun 2026 nanti, selepas kerja-kerja pemasangan meter pintar ini siap sepenuhnya di seluruh negeri (Pulau Pinang), kita (TNB) akan membuat pengisytiharan lanjut.

“Salah satu sebab kenapa penting pemasangan meter pintar ini adalah bagi menyokong Visi Penang2030, jadi kalau pelanggan TNB masih menggunakan meter mekanikal, ertinya kita tidak menuju ke era pendigitalan lagi,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow kerana banyak menyokong cadangan pemasangan AMI selama ini.

Menurut Norhizami, sehingga kini, sejumlah 3.9 juta daripada keseluruhan 9.1 juta pengguna TNB telahpun dipasang dengan peranti meter pintar.

Di Pulau Pinang sahaja, menurut beliau, setakat ini kira-kira 334,000 pengguna telahpun dipasang meter pintar.

Buletin Mutiara difahamkan bahawa dengan inisiatif TNB memasang AMI atau meter pintar, ia bukan sahaja membolehkan sekalian pengguna domestik serta komersil memantau penggunaan tenaga secara langsung 30 minit kemas kini sekali menerusi aplikasi pintar, malah proses pembayaran bil juga kian anjal.

Empat wakil TNB lain iaitu Pengurus Hal Ehwal Pihak Berkepentingan, Mohd. Alwi Mohd. Nadzir; Ketua AMI Pusat, Dr. Syed Ahmad Pu’ad Syed Abdul Hamid; Ketua Pasukan Khidmat Pelanggan AMI, Fadhli Abdullah dan anggota Pasukan Khidmat Pelanggan AMI, Mohamad Izmir Farhan Mohamad Radzi turut sertai kunjungan hormat tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT