SEBERANG JAYA – Pasar Awam Bukit Mertajam ditutup buat kali kedua mulai hari ini, 4 Ogos 2021 apabila terdapat 13 kes positif COVID-19 dilaporkan membabitkan enam peniaga dan tujuh pekerja pasar.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata bahawa kesemua 13 individu tersebut disahkan positif melalui ujian saringan RTK-Antigen (lapan kes) dan RT-PCR (lima kes) di klinik swasta.
“Hasil pemantauan dan siasatan lanjut oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (PKDSPT) pada hari ini, menasihati agar Pasar Awam Bukit Mertajam ditutup serta-merta mulai 4 Ogos 2021 selama 10 hari sehingga 13 Ogos 2021 atau sehingga dimaklumkan kelak.
“Ini berikutan terdapat risiko tinggi penularan wabak COVID-19 di lokasi dan bagi membolehkan pihak PKDSPT meneruskan pengesanan kontak rapat untuk proses saringan serta kerja-kerja sanitasi dan pembersihan di pasar tersebut,” ujarnya pada sidang media secara langsung menerusi platform Facebook pagi ini.
Menurut Rozali, pihaknya telah mengadakan beberapa siri pemeriksaan mengejut dan mendapati bahawa ada dalam kalangan peniaga serta pengunjung yang tidak mengimbas kod respons pantas (Kod QR) melalui aplikasi MySejahtera.
Hanya apabila ada pegawai MBSP yang bertugas di lapangan barulah mereka ini mengimbas kod QR selain tiada penjarakan fizikal ketika berurus niaga di pasar awam tersebut.
“Setelah lebih setahun pandemik ini, sewajarnya para peniaga dan pengunjung lebih berdisiplin (untuk mematuhi prosedur operasi standard, SOP).
“Tambahan pula, ini merupakan kali kedua pasar awam ini ditutup dalam tempoh kurang dua bulan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berharap para peniaga di pasar awam tersebut dapat mengambil inisiatif menjalani ujian saringan di mana-mana klinik swasta atau melalui Program Penang Saring COVID-19.
“Mereka (para peniaga) perlu memaklumkan kepada MBSP hasil keputusan yang diperolah bagi tujuan rekod dan perancangan selanjutnya.
“Sekiranya gagal, satu operasi bersepadu pihak berkuasa akan digerakkan untuk mengesan mereka ini dari rumah ke rumah sekiranya perlu.
“Tindakan penguatkuasaan juga boleh diambil kepada mereka yang ingkar di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Semua pihak perlu bertanggungjawab dalam memastikan kawasan pasar awam sebagai tempat yang selamat untuk dikunjungi dan berurus niaga,” tegasnya.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MBSP