SERI DELIMA – Beberapa pasar awam sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima mendapati pengunjung mula mempraktikkan langkah penjarakkan sosial.
Tinjauan ke Pasar Awam Taman Tun Sardon dan Pasar Greenlane Height dilihat telah dipasang dengan penanda khas bagi memastikan pengunjung menjarakkan diri satu meter antara satu sama lain semasa membeli-belah dan membuat pembayaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid memberitahu bahawa pendidikan kepada orang ramai perlu diteruskan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pendidikan kepada orang ramai merupakan proses yang berterusan memandangkan ini merupakan kali pertama rakyat berdepan arahan pelaksanaan PKP.
“Di Pasar Awam Taman Tun Sardon, kita ada pihak polis yang turut membantu MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) serta pemberitahuan peniaga kepada pengunjung mengenai jarak sosial yang selamat.
“Saya dapati keadaan juga agak terkawal di pasar Greenlane Heights yang merupakan pasar persendirian,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara.
Hadir sama, Pengerusi MPKK Bukit Gelugor, Mohd. Hafiz Abd. Aziz dan Pengerusi MPKK Sungai Gelugor, Merassik Jabbar.
Syerleena dalam pada itu, kini sedang berusaha mendapatkan alat bacaan suhu badan dalam menambah baik usaha mengekang penyebaran wabak COVID-19 di pasar awam.
Sementara itu, Pegawai Seranta bagi KADUN Seri Delima, James Pasqual ketika ditemui menyatakan bahawa pengunjung di Pasar Awam Taman Tun Sardon dilihat lebih berdisiplin mengawal jarak sosial.
“Setakat ini nampak elok teratur cuma hari Jumaat, Sabtu dan Ahad pengunjung memang ramai.
“Justeru, sebagai persediaan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad ini kami perlu lebih bersedia untuk mengawal kehadiran pengunjung yang datang,” ujar beliau ketika ditemui semasa sedang melakukan proses sanitasi kepada pelanggan pagi tadi.
Di KADUN Pulau Tikus pula, ADUNnya, Chris Lee Chun Kit menyatakan bahawa pihaknya sentiasa berwaspada mengenai ancaman COVID-19 terutamanya di kawasan pasar.
“Di sini kami memeriksa suhu badan, menekankan kepentingan jarak sosial dan mengarahkan penjaja kecil di luar menutup perniagaan selaras dengan PKP yang dikenakan sekarang.
“Dari masa ke masa juga, MPKK dan MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) akan memastikan perkara-perkara seperti jarak sosial ini dipatuhi agak ianya mengurangkan risiko merebaknya virus COVID-19,” jelasnya ketika melawat Pasar Awam Pulau Tikus pagi ini.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gmabar : LAW SUUN TING