PULAU TIKUS – Sejumlah RM16,905.70 dibelanjakan bagi kerja-kerja penukaran 151 unit lampu jenis diod pemancar cahaya atau LED di Pasar Awam Pulau Tikus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit ketika ditemui berkata, penggunaan lampu tersebut bukan sahaja bertujuan menghasilkan cahaya lebih terang, tetapi juga bagi menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.
“Objektif kita adalah untuk mengindahkan pasar yang menjadi tumpuan penduduk di sekitar KADUN Pulau Tikus,” ujarnya sejurus mengadakan lawatan ke pasar awam berkaitan bagi meninjau penyempurnaan kerja-kerja menaik taraf di sini, pagi ini.
Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Connie Tan Hooi Peng serta beberapa wakil MBPP dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tempatan.
Ditanya mengenai pengumuman yang dijangka bakal dibuat oleh Perdana Menteri hari ini, Chun Kit memaklumkan bahawa pihaknya telah bersedia.
“Tambahan pula dalam persiapan untuk sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, saya harap kita semua tetap komited memerangi penularan pandemik.
“Sila patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan patuhi arahan daripada semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, Hooi Peng memaklumkan bahawa selain penukaran lampu LED, turut terlibat adalah kerja-kerja landskap di sekitar pasar awam tersebut membabitkan kos RM568.
“Apabila menggunakan lampu LED, ia mampu menjimatkan bil elektrik sehingga 62 peratus atau bersamaan kira-kira RM5,800 setahun,” jelasnya.
Difahamkan kerja-kerja penukaran lampu LED siap pada 19 Disember 2020 dan kerja-kerja landskap siap pada 8 Januari baru-baru ini.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD