Pasar Awam Taman Bukit Panchor bakal berubah wajah sebagai Dewan Komuniti

Admin
lawatan

JAWI – Projek menaik taraf Tingkat 1 Pasar Awam Taman Bukit Panchor yang telahpun bermula pada 4 Disember lalu dan dijadualkan akan siap pada 3 Mei 2025.

 

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, projek tersebut sehingga 21 Disember lalu berada pada tahap pemajuan 10 peratus.

 

Projek ini bakal mengubah wajah Pasar Awam Taman Bukit Panchor menjadi Dewan Komuniti serba baharu untuk kegunaan masyarakat di sini.

 

“Sudah tentu dengan adanya Dewan Komuniti ini akan memberi kemudahan untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dan sosial di sini setelah sekian lama tempat ini suram,” ujarnya.

 

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi berkata demikian pada sidang media yang diadakan usai lawatan tapak di sini pada 21 Disember lalu.

 

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Heng Yeh Shiuan serta beberapa wakil dari MBSP dan kontraktor.

rupa
PASAR Awam Taman Bukit Panchor yang suram bakal berubah wajah menjadi Dewan Komuniti.

Difahamkan, antara komponen projek yang menelan kos RM840,000 itu adalah kerja-kerja penyediaan tapak, menaik taraf bumbung, dinding dan lantai; menaik taraf ruangan dalaman dan kerja-kerja mekanikal serta elektrikal.

 

Terdahulu, melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Kejuruteraan MBSP, Mohd. Syukri Said, dinyatakan bahawa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming telah mengumumkan peruntukan dengan anggaran RM1 juta bagi pelaksanaan projek ini ketika mengadakan lawatan kerja pada 11 Jun 2024 lalu.

 

Susulan itu, surat kelulusan bertarikh 28 Jun 2024 telah dikeluarkan di bawah peruntukan kementerian berwajib dan MBSP mengambil inisiatif menyediakan cadangan reka bentuk terperinci berserta dokumen sebutharga serta melantik kontraktor, APT Assets Sdn. Bhd. pada 2 Disember 2024.

 

Gambar : EXCO