PEMBINAAN Pasar Awam Teluk Kumbar yang dirancang sejak sekian lama dijangka mampu menjana ekonomi setempat terutama di kawasan sekitarnya.
Projek yang dijangka bermula November tahun ini, menempatkan 48 buah gerai jualan ikan, daging, sayur, buah-buahan, barangan am dan bahagian tidak halal.
Tambahan daripada itu, sebanyak 38 buah gerai makanan dan minuman dengan kapasiti 390 pelanggan pada satu-satu masa akan melengkapkan pembinaan tersebut.
Penulis Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, SITI NURATIKAH RAHMAT sempat mengadakan tinjauan bagi mendapatkan maklum balas mengenai perancangan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, DATO’ AZRUL MAHATHIR AZIZ yakin kewujudan pasar awam tersebut yang dijangka siap pada tahun 2026 nanti mampu menjana ekonomi setempat.
“Apabila siap saya yakin projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk setempat dari segi peluang perniagaan, bahkan merangsang ekonomi di sini.
“Selaku ADUN yang sudah lama berjuang mengenai kewujudan premis ini, sudah tentu saya gembira dan menarik nafas lega apabila projek ini dikhabarkan akan bermula November ini, sudah tidak lama,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara.
Seorang anak jati Teluk Kumbar, MUHAMAD ASWAD MD. KAMAR, 30-an, melihat pembangunan Pasar Awam dan kemudahan lain menambahkan lagi keselesaan warga Teluk Kumbar.
“Sekiranya sebelum ini terpaksa bergantung kepada pasar lama yang kecil, parking susah, barangan terhad dan lokasi kurang strategik, pasar baharu ini sudah tentu projek yang memberi keselesaan penduduk di sini.
Bagi peniaga kosmetik, NUR NATASHA IBRAHIM, 29, berharap dapat menyewa salah satu premis di kompleks tersebut apabila siap kelap.
“Setakat ini boleh dikatakan meniaga dari rumah sahaja, kalau ada premis kedai dekat kompleks baharu itu, lebih mudah berurusan dengan pelanggan.
“Tambahan pula kompleks sudah ada tarikan tersendiri dengan pasar, tempat makan harap mampu beri impak positif sekiranya saya dapat jalankan perniagaan di situ nanti,” katanya.
Jelasnya lagi, urusan membeli barangan basah dan makanan yang diletakkan berhampiran akan lebih memudahkan orang ramai dan yang pasti peluang perniagaan kepada orang setempat.
MAIZATUL AZNIL ABDUL MALIK, 34, melihat projek pembinaan pasar awam dan kompleks makanan satu pembangunan yang kondusif kepada kawasan terbabit.
“Sebenarnya saya baru sebulan berpindah sini (Teluk Kumbar), sebelum ni saya tinggal di Bayan Baru, dengan adanya pasar awam di Teluk Kumbar nanti akan memudahkan saya untuk membeli barang perniagaan.
“Cadangan saya mungkin nanti boleh buat parkir yang bersesuaian agar kenderaan keluar masuk tidak menyesakkan jalan utama,” ujarnya.
Melihat keadaan pasar sedia ada di Taman Sahabat dalam keadaan tidak tersusun, MUHAMMAD SYAFA’AT HAJA MYDIN, 26, melihat pasar awam baharu ini sebagai salah satu jalan keluar.
“Sebelum ini saya selalu pergi ke pasar pagi Taman Sahabat, peniaga dalam keadaan yang tidak teratur dan tidak kemas, sekurang-kurang dengan ada pasar awam Teluk Kumbar nanti, kita harap lebih tersusun dan kondusif untuk menyenangkan pembeli,” katanya.