Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
DATOK KERAMAT – Setelah hampir 80 tahun, atas inisiatif Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), akhirnya, Pasar Awam Jalan Kuantan yang mula beroperasi sekitar tahun 1930-an bakal dinaiktaraf buat julung kalinya.
Projek naiktaraf yang bakal menelan belanja RM450,000 tersebut merupakan pasar awam keenam dinaiktaraf MPPP selain Pasar Awam Batu Maung, Pasar Awam Ayer Itam, Pasar Awam Lebuh Cecil, Pasar Awam Pulau Tikus dan Pasar Awam Jelutong sebelum ini.
Kerja-kerja penaiktarafan adalah merangkumi pembinaan 48 unit gerai ‘lock up’ baru (dibahagi sama rata antara bahagian dalam dan luar bangunan), ‘ramp’ (3 unit), 22 unit kaunter di bahagian sayur-sayuran dan mengecat semula bangunan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kos untuk menaiktaraf pasar tersebut adalah hasil daripada lebihan bajet MPPP.
“Lebihan dalam bajet telah membolehkan projek – projek infrasturuktur dan penaiktarafan dijalankan bukan sahaja bagi pasar-pasar awam, malah, longkang, taman hijau serta jalan.
“Penaiktarafan ini adalah berdasarkan kepada permintaan serta keperluan semasa para peniaga dan reka bentuk semula adalah bersesuaian dengan keadaan semasa,’’ katanya ketika hadir pada majlis simbolik permulaan kerja-kerja pembinaan dan penaiktarafan Pasar Awam Jalan Kuantan di sini baru-baru ini.
Turut serta, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo; ADUN Komtar, Ng Wei Aik;Yang diPertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyyah Ismail Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MPPP, Ong Ah Teong dan wakil-wakil MPPP.