Pasar & kompleks atasi masalah penjaja tanpa lesen

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN

BAYAN LEPAS – Pembinaan pasar dan kompleks makanan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) merupakan strategi serampang dua mata untuk mengatasi masalah penjaja tanpa lesen di negeri ini selain menyediakan kemudahan lebih selesa kepada penduduk setempat, ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini di sini.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Pembukaan Pasar dan Kompleks MPPP Jalan Rajawali, Bayan Lepas di sini baru-baru ini.

Katanya, penjaja tanpa lesen di negeri ini perlu merebut peluang ekonomi sah dan berlesen melalui program penempatan semula penjaja di pasar dan kompleks MPPP yang sedang giat dilaksanakan. “Pihak MPPP komited bagi membantu peniaga kecil dalam menikmati kepesatan pembangunan ekonomi negeri Pulau Pinang.

“Pembinaan pasar dan kompleks yang sedang digiatkan diharap dapat mengatasi masalah penjaja tanpa lesen terutamanya buat mereka (penjaja) yang berniaga di tepi-tepi jalan,” ujar beliau.

Bangunan Pasar dan Kompleks MPPP Jalan Rajawali dengan keluasan 52, 033 kaki persegi dibina dengan kos RM4.5 juta. Ia dilengkapi dengan kemudahan 20 unit gerai makanan dan minuman, gerai pasar basah dan kering (25), sebuah dewan komuniti, tempat letak kenderaan dan kemudahan tandas awam termasuk tandas orang kurang upaya (OKU).

Hadir sama, Yang di-Pertua MPPP, Datuk Patahiyah Ismail dan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Dengan siapnya pasar dan kompleks MPPP tersebut, sejumlah 46 penjaja tanpa lesen berjaya ditempatkan dan dilesenkan mengikut Undang-undang Kecil Penjaja yang dikuatkuasakan pihak Majlis.

Dalam pada itu, menurut Kon Yeow, terdapat dua pasar dan kompleks yang sama bakal dibuka di Bukit Gambir dan Sungai Ara di sini dalam tempoh terdekat berdasarkan syarat pemajuan yang dikenakan Majlis kepada pemaju projek perumahan.