Pasar malam bakal dinaiktaraf

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

ONG Ah Teong menunjukkan lokasi pasar malam di seluruh kawasan pulau pada majlis sidang akhbar beliau di sini baru-baru ini.
ONG Ah Teong menunjukkan lokasi pasar malam di seluruh kawasan pulau pada majlis sidang akhbar beliau di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Demi keselamatan dan keselesaan penduduk setempat yang mana kediaman mereka terletak berhampiran dengan kawasan pasar malam, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) kini mengambil langkah drastik dengan menghentikan seketika pemberian lesen buat penganjur berkenaan bermula tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Gantian Tetap dan Kesihatan Awam MPPP, Ong Ah Teong, berkata, kemungkinan besar pembekuan hanya dilakukan dalam tempoh lima bulan sehingga satu tahun bagi membolehkan pihak MPPP mengenalpasti, menyelesaikan dan menaiktaraf keadaan pasar malam sedia ada.

“Kebanyakkan aduan yang diterima daripada penduduk setempat dan pengunjung pasar malam adalah disebabkan tindakan meletakkan kenderaan sesuka hati hingga menghalang kelancaran lalu lintas.

“Justeru, proses perbincangan dengan beberapa pihak harus dilakukan terlebih dahulu seperti pihak polis agar dapat membantu dari segi laluan trafik.

Manakala, pihak bomba lebih arif dan tahu mengenai struktur yang lebih selamat ataupun tidak,’’ ujarnya pada satu sidang media bertempat di Dewan Bandaran MPPP, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, pihak penganjur pasar malam di kawasan pulau tidak perlu khuatir kerana proses pembekuan yang dijalankan MPPP hanya bersifat sementara sehingga kerja menaiktaraf selesai, kebersihan dan tahap keselamatan pengguna terjamin.

“Ini bakal melibatkan 36 tapak pasar malam sedia ada dengan jumlah 4,123 tapak peniaga,’’ jelasnya lagi.