PADANG KOTA – Kerajaan Negeri sejak 2009 hingga April tahun ini menyalurkan sejumlah RM23.6 juta kepada 1,461 orang miskin tegar, di bawah program Agenda Ekonomi Saksama (AES).
Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh memberitahu, Kerajaan Negeri berharap AES mampu mengurangkan jurang sosial membabitkan golongan miskin berdaftar.
“Pada tahun 2014, penurunan jurang kemiskinan mencatat 13 peratus dalam masa enam tahun,” jelasnya pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di sini baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Boon Poh menyatakan bahawa, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun lepas melaksanakan 374 operasi dan berjaya menyelamatkan 523 kutu rayau serta pengemis di negeri ini.
“Kerajaan Negeri mencadangkan satu program untuk menggabungkan sektor kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan menempatkan golongan tersebut di penempatan yang lengkap keperluan asas serta selesa sebagai permulaan.
“Selepas tamat tempoh penempatan, gelandangan ini diharapkan dapat berdikari dan berintegrasi dengan masyarakat.
“Pengurusan penempatan gelandangan ini dicadang dikendalikan pihak NGO yang dikenal pasti oleh Kerajaan Negeri.
“Malah, kita (Kerajaan Negeri) juga mencadangkan konsep ‘Community Care‘ yang mana golongan gelandangan mampu bekerja dan produktif diberikan bantuan kebajikan serta rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau rumah sewa dan diberi galakan, peluang pekerjaan untuk hidup berdikari,” ulasnya menjawab soalan dibangkitkan ADUN Permatang Berangan, Omar Abdul Hamid.