Pastikan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang kekal relevan, sediakan pembangunan – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Diharapkan permulaan babak cabaran baharu untuk tempoh lima tahun akan datang dapat dipadukan lagi bagi memastikan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang masih kekal relevan termasuk dalam menyediakan pembangunan dan infrastruktur untuk rakyat di negeri ini.

 

CHOW Kon Yeow.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota yang juga Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian pada Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota di sini sebentar tadi.

 

 

Menurut beliau, banyak cabaran yang telah dilalui sepanjang tempoh kempen PRN dan saya amat berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam memastikan kemenangan.

 

 

Adalah diharapkan perpaduan yang ada kini dapat dipupuk termasuk menempuhi pelbagai cabaran semasa.

 

 

“(Dan) pada masa sama terus menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat dengan sentiasa mendampingi rakyat,” serunya.

 

KAUM ibu antara yang turut membanting tulang membantu semasa tempoh kempen baru-baru ini.

 

Sebagai rekod, Kon Yeow berjaya mempertahankan kerusi KADUN Padang Kota dengan majoriti 7,116 pada PRN Ke-15 baru-baru ini.

 

 

Ditemani isteri, Y.A.Bhg. Puan Tan Lean Kee, hadir sama ialah ADUN Komtar, Teh Lai Heng dan ADUN Pengkalan Kota, Wong Yee Harng.

 

 

Terdahulu, ketika berucap, Kon Yeow berkongsi perjalanan beliau sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang dan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang yang mana beliau perlu membahagikan masa untuk turun padang ke kawasan calon-calon Perpaduan lain untuk memberi sokongan.

 

 

“Terima kasih kepada petugas logistik yang telah memasang bendera, kain rentang dan papan iklan di sekitar kawasan Padang Kota.

 

 

“Terima kasih juga kepada agen mengundi dan agen pengiraan undi (PACA), petugas dan pemerhati di barung serta pasukan konvoi.

 

 

“Tidak dilupakan kepada pasukan publisiti yang telah berjaya menyediakan risalah untuk diedarkan kepada semua pengundi di negeri ini,” zahirnya.

 

 

Ucapan penghargaan dan terima kasih tidak hanya terhenti di situ, sebaliknya Kon Yeow juga menghargai segala sumbangan pimpinan barisan petugas dalam KADUN Padang Kota yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen.

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : SIEW CHIA EN