Pastikan MBSP kian relevan, Mohd Ibrahim Md Nor Setiausaha Bandaraya yang baharu

Admin
538a498c 18ba 4450 b3cd b2d2e92ef46b MOHD. Ibrahim Md. Nor saling bersalaman dengan Datuk Bandar MBSP (kiri) di sini pada petang tadi.

PEMASYHURAN Mohd. Ibrahim Md. Nor sebagai Setiausaha Bandaraya baharu bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada petang ini akhirnya menjawab persoalan pelbagai pihak mengenai siapakan yang mengisi kekosongan jawatan penting itu.

03e717fd daa8 4638 aecc b7895f9f92c2
MOHD. Ibrahim Md. Nor melafazkan ikrar sumpah terimaan jawatan Setiausaha Bandaraya MBSP di sini pada petang tadi.

Bekas Pengarah Perkhidmatan Kesihatan MBSP itu mengangkat sumpah terimaan jawatan di hadapan Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye serta Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid.

Sekalian Ahli Majlis serta barisan Ketua Jabatan bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan turut menyaksikan acara tersebut yang dilangsungkan di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP dekat Bandar Perda.

Mohd. Ibrahim yang ditemui kemudian menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh Pihak Berkuasa Negeri hari ini.

“Pertama, saya merafakkan rasa syukur kepada Allah S.W.T. atas keputusan yang telah dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri ini.

“Sesungguhnya saya amat terkejut dengan pelantikan (Setiausaha Bandaraya MBSP) ini, kerana keputusan dibuat di luar jangkaan semua (yang mana) saya sendiri tidak mendapat apa-apa ‘petunjuk’ sebelum ini,” jelasnya kepada Buletin Mutiara.

Difahamkan, Mohd. Ibrahim berkhidmat dengan MBSP sejak 1 Julai 1994.

Selama tempoh kira-kira 30 tahun dan satu bulan itu, beliau pernah ditaklifkan sebagai Penolong Pengarah Pentadbiran di Jabatan Urusetia bagi tempoh 15 tahun.

Dalam tempoh sama juga, beliau pernah bekerja di dua ‘bahagian utama’ iaitu empat tahun di Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan dan baki tahun selebihnya di Bahagian Pengurusan (kini dikenali sebagai Bahagian Sumber Manusia).

Kerana ada kekosongan perjawatan, dalam tempoh 15 tahun semasa itu juga, Mohd. Ibrahim memberitahu bahawa beliau pernah menanggung kerja lain berkaitan tugas-tugas penguatkuasaan (kira-kira 11 bulan).

Selepas itu, beliau diberi peranan yang lebih besar dengan mengetuai jabatan lain iaitu Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Jabatan Perlesenan

“Sebagai Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kesihatan MBSP sekarang kira-kira lebih 10 tahun, dan pada hari ini (1 Ogos 2024) dilantik sebagai Setiausaha Bandaraya,” jelasnya lagi.

f65eb1fe 192c 46b1 b8af 7989da3a121d
MOHD. Ibrahim Md. Nor

Bercerita lanjut, Mohd. Ibrahim berkata pengalaman yang agak mencabar, antaranya semasa menjadi Pengarah Perkhidmatan Kesihatan yang mana pernah menganjurkan sendiri Operasi Crow Sharpshooter (OPS Cross MBSP) pada tahun 2022.

“Dijenamakan semula sebagai OPS Cross MBSP, cabaran utama acara menembak burung gagak ini adalah ia belum pernah dibuat lagi di kawasan Utara Semenanjung Malaysia ini.

“Pada peringkat awal penganjuran, ada banyak cabaran kerana melibatkan pergerakan senjata api dan aktiviti menembak (gagak) di kawasan awam.

“Kerana kawasan aktiviti menembak burung gagak ini turut melibatkan ruang udara di bawah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dekat Daerah Seberang Perai Utara (SPU), perlu juga mendapatkan kebenaran agensi-agensi berkaitan termasuk Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman.

“Apabila aktiviti tembakan di kawasan awam, suatu acara yang jarang dilakukan sebelum ini, mesti melibatkan (PDRM) Bukit Aman.

“Memang mencabar… (MBSP) perlu mendapatkan sokongan dan kerjasama daripada IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah), IPK (Ibu Pejabat Kontingen) Pulau Pinang kerana peserta yang menyertai OPS Cross MBSP ini bukan sahaja datang dari Seberang Perai, malah dari negeri-negeri lain juga,” jelasnya lagi.

Menganggap perjawatan Setiausaha Bandaraya MBSP sebagai suatu amanah yang berat, Mohd. Ibrahim berkata beliau akan berusaha memainkan peranan secara pentadbiran bagi menjayakan misi teras, seperti digariskan Baderul Amin.

“Sebagai Setiausaha Bandaraya, saya mesti menyokong apa sahaja visi yang digagaskan oleh Datuk Bandar MBSP, itu paling jelas dalam tugas hakiki saya.

“Macam diucapkan oleh Datuk Bandar MBSP tadi pun, PBT mesti kembali pada urusan terasnya, kebersihan bandar raya, penguatkuasaan dan pengurusan kewangan.

“Setiausaha Bandaraya adalah ketua pentadbir, tanggungjawab saya adalah menyelaraskan kerja-kerja pentadbiran berdasarkan tiga perkara yang digariskan oleh Datuk (Baderul Amin) itu,” jelasnya lagi.

Mohd. Ibrahim pernah belajar satu sekolah dan tinggal asrama selama lima tahun bersama-sama Baderul Amin, semasa di Penang Free School dulu.

Mula-mula beliau enggan bercerita lanjut, tetapi selepas dipujuk, dalam nada seloroh Mohd. Ibrahim berkata pihaknya berharap keserasian bekerja di bawah ‘pasukan’ Dato’ Baderul Amin kian kuat, dengan mengambil kira pelbagai elemen yang telah wujud sebelum ini.

“Mungkin ramai tidak tahu, saya dan Dato’ Baderul Amin adalah bekas pelajar Penang Free School, tinggal di asrama sehingga Tingkatan 5, sebelum memilih hala tuju pengajian tinggi masing-masing.

“Kami berdua adalah calon menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 1983 sebelum masing-masing bawa haluan (pengajian tinggi) dan saya berjumpa kembali beliau pada hari saya melaporkan diri di MBSP (1 Julai 1994).

“Berbekalkan semua ini, tiada masalah kerana kita berdua saling faham dan dari situ kita boleh saling bekerja secara profesional dan saling berterus terang.

“Lebih-lebih lagi, saya dan Datuk Bandar MBSP hari ini telah berkhidmat lebih 30 tahun bersama-sama MBSP, masing-masing ada pengalaman dan pengetahuan mengenai tabiat organisasi PBT selama tempoh itu.

“Sepertimana pekerja-pekerja lain yang lama berkhidmat dengan MBSP, ada ‘jiwa’ dan apa-apa yang terjadi dalam MBSP akan lebih dekat dengan jiwa kami di sini.

“Sekarang usia saya sudah 58 tahun, dari usia muda sampai umur setua ini berkhidmat di MBSP, ‘jiwa’ untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk rakyat mesti ada citra tersendiri,” jelasnya lagi.

Dilahirkan di Bukit Tengah, Mohd. Ibrahim sudah berkahwin dan mempunyai tiga cahaya mata berusia antara usia 28 hingga 17 tahun.

Mengakhiri bicara wara, Mohd. Ibrahim berharap keberadaan kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan oleh MBSP kian relevan kepada semua pemegang taruh di kawasan pentadbiran PBT tersebut.

“Dalam soal harapan, kita pada semua peringkat perjawatan dalam MBSP mesti memastikan keberadaan kita mesti terus relevan.

“MBSP mesti terus relevan kerana jika tidak, tidak perlu lagi ada PBT… jadi maksudnya dari segi tugas hakiki yang utama, kita mesti kita usahakan.

“Tiga perkara iaitu kebersihan bandar raya dan penguatkuasaan, sangat berhubung kait dengan soal pengurusan kewangan PBT.

“Tidak dapat tidak mesti dilaksanakan dan di sini tugas seorang Setiausaha Bandaraya sendiri relevan jika dapat melaksanakan ketiga-tiga perkara tersebut tanpa tertinggal salah satu di antaranya,” jelasnya.