Pastikan Negeri kita punyai daya huni tinggi, ekonomi terus maju

Admin

GEORGE TOWN – Walaupun kira-kira dua tahun berdepan dengan pandemik dan banyak sektor yang terjejas, namun pembangunan ekonomi Pulau Pinang mampu berkembang dengan kemasukan nilai pelaburan berbilion ringgit ke negeri ini.

 

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, faktor tersebut adalah disumbang oleh jaringan infrastruktur yang baik, tenaga mahir serta kebolehan rakyat bertutur dalam pelbagai bahasa yang menjadikan para pelabur berasa selesa untuk melabur di Pulau Pinang.

 

“Walau bagaimanapun, pembangunan ekonomi sahaja adalah tidak mencukupi kerana kita mahukan pembangunan sosial, agama, budaya dan warisan juga memperoleh perhatian.

 

“Dengan ini, Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi lain juga turut memastikan negeri kita mempunyai daya huni tinggi dan mutu kehidupan yang sangat baik,” ujarnya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Penduduk Alimsah Waley, Lebuh Chulia di sini tadi.

 

Hadir sama, Pengerusi Khariah Masjid Alimsah Walley, Idris Abd. Salam; Timbalan Pengerusi Khariah Masjid Alimsah Walley, Maidin S. Sahul Hamid; Imam Masjid Alimsah Walley, Mohamad Fadzil Bin Alias dan Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lebuh Chulia.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut menyampaikan sumbangan dana RM8,000 kepada Masjid Alimsah Waley.

 

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow percaya bahawa sepanjang tempoh sebulan bulan suci umat Islam ini, semua pimpinan negeri serta setempat telah turun menyantuni rakyat bukan hanya yang beragama Islam malah juga semua latar belakang.

 

Yang mana, beliau sendiri turut mengambil kesempatan menjelajah ke lima daerah untuk mendekati rakyat negeri ini menerusi kepelbagaian undangan program berbuka puasa dan sebagainya.

 

“Hampir 15 tahun menjadi Kerajaan Negeri, saya bersyukur rakyat masih percaya kepada kami (Pakatan Harapan, PH), dan saban Pilihan Raya Umum (PRU) jumlah undi turut meningkat, terima kasih kepada rakyat Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar & Video: DARWINA MOHD. DAUD