GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa baki penggal perkhidmatannya, beliau perlu memastikan semua projek besar negeri ini berjalan lancar.
“Sebentar tadi juga ada yang bertanya adakah projek LRT (transit aliran ringan) jadi?
“Setakat ini saya rasa jadi, setelah 10 tahun kita perjuangkan, ada banyak projek diluluskan dalam tempoh saya (sebagai Ketua Menteri), dan saya perlu pastikan dapat dana yang sepatutnya daripada Kerajaan Pusat,” ujarnya pada Majlis Makan Malam Amal Persatuan Warisan Dato’ Koyah dekat Jalan Ariffin di sini sebentar tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Seri Haja Najmudeen Kader; Presiden Central Muslim Society, Mohamed Hassan Uthman dan Presiden Gabungan Persatuan India Muslim Pulau Pinang (GAPEIM), Mohamed Hassan Uthman antara yang hadir ke majlis tersebut.
Menurut Kon Yeow, bagi projek tambakan laut selatan Pulau Pinang pula, tahap pencapaian adalah lebih 100 ekar dan tanah-tanah tersebut akan mula dijual pada hujung tahun ini untuk tujuan industri.
Beliau yang juga ADUN Padang Kota dalam pada itu mahu rakyat Pulau Pinang terus memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan yang baru berusia dua tahun setengah.
“Di Pulau Pinang, kita lebih bertuah kerana sudah masuk 17 tahun jadi kerajaan (negeri), tahun pertama hingga lima pun kita berusaha untuk menang kepercayaan rakyat, dan memang ada pihak tidak yakin serta harap pemerintahan lama menang balik.
“Tetapi selepas satu, dua, tiga dan empat penggal, dengan usaha semua wakil rakyat kita berjaya bertahan, dan saya harap untuk penggal kelima juga.
“Berbanding Kerajaan Perpaduan yang baharu berusia dua setengah tahun, inilah cabaran yang kita (Kerajaan Negeri) lalui semasa penggal satu dan dua hinggalah rakyat dapat melihat dengan mata sendiri bahawa kita jujur dengan rakyat menyelesaikan masalah, membawa pembangunan, mewujudkan pekerjaan, kesejahteraan, kebajikan, hal-hal agama dan sebagainya,” ulasnya lanjut.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIA EN