SEPANJANG tahun 2024, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Sin telah melakar kenangan cukup istimewa apabila badan beruniform sekolah berkenaan berjaya mengungguli acara kawad kaki dengan meraih 10 kejuaraan dalam pelbagai pertandingan yang disertai.
Terbaharu, pasukan kawad kaki lelaki dari sekolah itu diumumkan sebagai johan Pertandingan Kawad Kaki 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Pulau Pinang yang diadakan pada 28 Disember 2024.
Lebih manis apabila komander kawad kaki mereka dinobatkan sebagai platun terbaik manakala pasukan perempuan pula turut diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga dalam pertandingan sama.
Guru pembimbing yang juga jurulatih pasukan kawad kaki SJKC Min Sin, ANG AIK FUNG ketika ditemui berkata, selain menjadi johan dalam pertandingan kawad kaki, badan beruniform sekolah berkenaan juga meraih kejayaan di tempat ketiga sebanyak tiga kali dan tempat ketiga (3).
Pencapaian terbaharu yang direkodkan pada 28 Disember lalu, menandakan penutup yang cukup sempurna bagi SJKC Min Sin sepanjang tahun 2024.
“Manakan tidaknya, sejak ditubuhkan pada 2018, pasukan kawad kaki badan beruniform sekolah ini telah melakarkan pencapaian yang cemerlang dalam pertandingan yang disertai.
“Kejayaan yang diraih ini adalah hasil dedikasi murid-murid yang menyertai badan beruniform seperti Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS), PBSM dan Pengakap,” katanya kepada Buletin Mutiara pada 31 Disember 2024.
Menurut Aik Fung, pencapaian penting lain termasuklah menyertai Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Sekolah Rendah Peringkat Negeri Pulau Pinang dan menjadi satu-satunya sekolah rendah yang mengambil bahagian dalam perbarisan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri.
Dalam kedua-dua acara ini, pasukan badan beruniform SJKC Min Sin turut menjadi johan walaupun pertama kali menyertainya dan ia cukup membanggakan.
“Begitu juga dalam pertandingan kawad kaki sekolah rendah yang mana SJKC Min Sin meraih gelaran johan berganda dan menjadikannya sekolah rendah Cina pertama di Pulau Pinang menerima pengiktirafan tersebut,” kongsinya yang teruja dengan pencapaian anak didiknya.
Bercakap mengenai hasrat dan impian tahun 2025, Aik Fung memberitahu bahawa pasukan badan beruniform sekolah meletakkan matlamat untuk mengharumkan nama Pulau Pinang pada Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan di Melaka nanti.
“Pastinya kami mengharapkan kejayaan memandangkan SJKC Min Sin merupakan satu-satunya sekolah rendah Cina yang menyertai pertandingan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SJKC Min Sin, LIM YIN CHAO memaklumkan bahawa pihaknya telahpun mengaturkan majlis makan malam pada hujung minggu ini sebagai penghargaan atas usaha dan titik peluh semua murid, pelajar dan ibu bapa selama ini.
Acara kawad kaki ini bukan sahaja dapat melatih disiplin murid tetapi juga suatu bentuk kemahiran kendiri yang tidak terdapat dalam buku teks.
“Menjadi sebahagian daripada pasukan kawad kaki tidak semestinya meningkatkan pengetahuan tetapi melentur kemahiran, semangat berpasukan, ketekunan serta sikap yang positif,” ujarnya.
Tambah Yin Chao lagi, untuk tahun hadapan, pihaknya tidaklah menetapkan sasaran yang terlalu tinggi sebaliknya mahu memberikan pengalaman terbaik kepada murid-murid dalam pertandingan yang mereka sertai.
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR