Pasukan JKKK Lahar Kepar juara Kejohanan Futsal Piala PPK

PENAGA – Pasukan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Lahar Kepar dijulang sebagai johan dan membawa pulang wang tunai bernilai RM800 berserta medal pada Kejohanan Futsal Piala Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penaga dekat sini baru-baru ini.

Menurut Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Penaga, Ridwan Osman, kejohanan yang telah memasuki tahun kedua ini akan dijadikan acara tahunan bagi KADUNnya.

“Sambutan yang menggalakkan serta ada ‘desakan’ yang meminta agar acara ini dijadikan acara tahunan memberi semangat khususnya kepada anak-anak muda di sini untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang sihat,” ujar Ridwan.

Tambahnya, minat yang ditunjukkan oleh anak-anak muda di Penaga dalam bidang sukan amat tinggi dan program- program sihat sebegini akan diteruskan pada masa-masa hadapan.

Kejohanan yang disertai oleh 24 pasukan ini menggamit kehadiran lebih 500 anak muda.

Pasukan TKB Xxora ‘A’ meraih tempat kedua, Pasukan TKB Xxora ‘B’ (tempat ketiga) dan Pasukan Hantu Mak Limah (tempat keempat) dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM500, RM300 dan RM200 berserta medal.