Pasukan Pemantauan Pengguna jamin hak pengguna

Admin
Malik Abul Kassim (berkaca mata) bersama Shahril Zamani Md. Zain (dua dari kanan) dan Mohd. Tuah Ismail (kanan sekali) ketika mengadakan pemantauan harga di Pasar Awam Balik Pulau di sini baru-baru ini.
Malik Abul Kassim (berkaca mata) bersama Shahril Zamani Md. Zain (dua dari kanan) dan Mohd. Tuah Ismail (kanan sekali) ketika mengadakan pemantauan harga di Pasar Awam Balik Pulau di sini baru-baru ini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

PULAU BETONGBagi memastikan para peniaga tidak menaikkan harga barangan keperluan secara mendadak bersempena sambutan Aidilfitri, pasukan Pemantauan Pengguna (Consumer Watch) yang ditubuhkan khas oleh Kerajaan Negeri telah mengadakan ‘lawatan mengejut’ ke Pasar Awam Balik Pulau, Jalan Tun Sardon di sini baru-baru ini.

Lawatan tersebut diketuai Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim serta wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang turut memantau tanda harga serta tahap kebersihan premis perniagaan di sini.

Menurut Abdul Malilk, Kerajaan Negeri sememangnya sedar dan prihatin akan beban yang ditanggung oleh rakyat berikutan kenaikan harga barangan keperluan secara mendadak.

“Tujuan (pemantauan) kita adalah untuk memastikan tidak timbul rungutan pengguna yang terbeban dengan kenaikan harga barang keperluan terutama ketika sambutan Aidilfitri.

“Alhamdulillah, sejak kita tubuhkan Consumer Watch pada tahun 2008, ia bukan sahaja dapat mengawal kenaikan melampau harga barang-barang keperluan, tetapi, kita (Kerajaan Negeri) juga dapat memastikan hak pengguna terpelihara,” kata Abdul Malik ketika mengadakan pemantauan harga khas di Pasar Awam Balik Pulau di sini barubaru ini.

Selain itu, beliau turut mengedarkan senarai barang-barang kawalan dan senarai harga terkini barangan utama di pasaran kepada Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail dan PPK Telok Bahang, Halil Sabri Hamid. Serantak itu, beliau turut menyeru mereka (PPK) menjalankan pemantauan secara berkala.

Hadir sama, Penolong Pengarah (Hal Ehwal Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Shahril Zamani Md. Zain dan ahli-ahli jawatankuasa Pasukan Pemantauan Pengguna.

Dalam pada itu, Mohd. Tuah ketika ditemui berkata, pemantauan tersebut sedikit sebanyak dapat mengelakkan para peniaga menaikkan harga barangan keperluan dengan sesuka hati terutama menjelang perayaan dan cuti umum.

“Kenaikan harga barangan memang membebankan terutama kepada mereka yang berpendapatan kecil. Jadi dengan adanya lawatan begini, harga barangan dapat dikawal,” ujarnya.

Bagi Halil Sabri pula, beliau menyatakan bahawa para peniaga akan memastikan premis-premis perniagaan sentiasa bersih dan mempunyai stok bekalan barangan utama yang mencukupi sekiranya pemantauan secara berkala dijalankan di pasar-pasar awam di Pulau Pinang.