Patahiyah perjelas punca MPPP roboh binaan di Lengkok Sg. Gelugor Satu

GEORGE TOWN – Sebahagian binaan tambahan tanpa kelulusan pada rumah milik warga emas di Sungai Gelugor Satu, di sini yang di robohkan Direktorat Penguatkuasa baru-baru ini sebenarnya ekoran daripada aduan-aduan jiran, Zulkifly Mohamad sejak lima tahun lepas lagi.

Demikian penjelasan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Ar. Patahiyah Ismail menjawab pertikaian banyak pihak, termasuk kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“(Jiran) Encik Zulkifly bin Mohamad yang juga merupakan jiran bersebelahan, telah mengadu bahawa pembinaan tanpa kelulusan ini telah menjejaskan kualiti kawasan perumahannya, membahayakan dan menyebabkan pembiakan nyamuk,” ujar beliau menerusi satu siaran media di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pada 1 Oktober 2007, satu notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 72 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 ke atas kerja-kerja pindaan dan tambahan yang telah dijalankan dalam kawasan premis berkenaan.

“Struktur tambahan yang dimaksudkan ini adalah suatu binaan dari jenis tiang dan konkrit yang bertetulang dua tingkat berukuran 10’0” X 80’0” dan struktur bersaiz 20’0” X 10’0” di bahagian depan premis berkenaan.

“Struktur ini juga boleh mendatangkan implikasi keselamatan memandangkan ia tiada anjakan 2 meter dari sempadan lot sisi,” jelas beliau sambil mengemukakan kronologi kes demi membuktikan bahawa langkah penguatkuasaan MPPP adalah secara profesional serta
mengikut lunas undang-undang.

Terdahulu, banyak pihak termasuk Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) mempersoal langkah penguatkuasaan MPPP itu.

Patahiyah berkata, pihaknya akan bertemu dengan semua kepemimpinan Kerajaan Negeri berwajib bagi menjernihkan semua kekeliruan itu.

“Pihak majlis (MPPP) melalui Jawatankuasa Penyelarasan Operasi sentiasa terbuka dan akan mengambilkira dan mempertimbangkan pelbagai sudut dan pandangan awam, pengadu, wakil setempat dan juga sensitiviti masyarakat.

“MPPP akan merujuk perkara ini kepada Kerajaan Negeri dan sedia menerima apa-apa arahan yang disyorkan,” ujar beliau.

Terdahulu, kira-kira lima tahun lepas, Zulkifly selaku jiran rumah kontroversi itu membuat aduan kepada MPPP.

Ekoran itu, MPPP pada 1 Oktober 2007 mengeluarkan satu notis di bawah Seksyen 72 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Pada 11 Oktober tahun yang sama, notis kedua di bawah Seksyen 72(6) akta yang sama dikeluarkan dengan memberi tempoh selama 30 hari kepada pemilik rumah tersebut menghentikan kerja-kerja pembinaan struktur tambahan tanpa kelulusan tersebut.

Namun, menurut laporan rasmi MPPP, pemilik premis berkenaan ingkar serta tidak mematuhi kehendak-kehendak notis berkenaan.

Insiden tersebut kemudiannya dirujuk ke mahkamah pada 21 Julai 2008. MPPP mendakwa pemilik premis berkenaan di bawah Seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan.

Lantaran itu, pemilik premis berkenaan telahpun mengaku bersalah lalu dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah.

Pada 19 Januari 2009, MPPP sekali lagi mengeluarkan notis serta menasihatkan pemilik premis berkenaan supaya mematuhi kehendak-kehendak notis tersebut.

Pemilik premis itu kemudiannya mengemukakan rayuan lalu MPPP memberi tempoh selama tiga bulan bermula pada 12 Mac 2009 untuk notis tersebut dipatuhi.

Dalam tempoh itu, MPPP menjelaskan bahawa pemilik premis langsung tidak mengemukakan permohonan pelan bangunan daripada majlis sehingga kini.

Malah, MPPP menjelaskan, struktur binaan tambahan tanpa kelulusan itu turut dibiarkan terbengkalai serta tidak dirobohkan hatta menimbulkan bahaya serta menjadi kawasan pembiakan nyamuk.

MPPP terus menerima beberapa aduan yang sama daripada Zulkifly hatta menerima rasa tidak puas hati daripada pengadu tersebut.

Pada 12 Julai lepas, MPPP menerima aduan terbaru daripada Zulkifly. MPPP digambarkan gagal melaksanakan tanggungjawab ekoran tiada langkah penguatkuasaan ke atas binaan tambahan Tanpa Kelulusan Pelan tersebut.

Sebenarnya, MPPP mengambil langkah sewajarnya serta mematuhi ‘Standard of Procedure’ yang digariskan oleh Kerajaan Negeri, seperti mendapatkan kelulusan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N.Rayer bagi menguatkuasa undang-undang berwajib.

Pada 8 November lepas, MPPP mula merobohkan struktur Tanpa Kelulusan Pelan sahaja – bukan roboh rumah warga emas tersebut
– di Lengkok Sungai Gelugor 1, Sungai Gelugor, di sini.

Struktur Tanpa Kelulusan Pelan itu dirobohkan baru-baru ini selepas kira-kira lima tahun MPPP menerima aduan Zulkifly serta berunding beberapa kali dengan pemilik rumah kontroversi itu.

PATAHIYAH Ismail.
PATAHIYAH Ismail.