GEORGE TOWN – Mereka yang mendapat lesen jaja sementara daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) wajar mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
Demikian kata Calon Perpaduan bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota, Tuan Chow Kon Yeow dalam sidang media berkaitan di Warung Roti Bakar Jalan Hutton di sini pada 2 Ogos 2023.
“Kalau merujuk kepada kes ini (iaitu) perniagaan di Jalan Phee Choon sebenarnya adalah tempat penjaja sementara yang mana pada asalnya ada gerai dipindahkan dari Upper Penang Road dan Hutton Lane, oleh itu kekal dengan nama Roti Bakar Hutton Lane (di sini).
“Di sini (Jalan Phee Choon) adalah tempat perniagaan sementara yang dibenarkan oleh MBPP dengan syarat-syaratnya.
“Seperti di kawasan lain seluruh negeri, PBT akan melaksanakan langkah penguatkuasaan sekiranya ada ketidakpatuhan syarat-syarat yang ditetapkan,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.
Kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang itu lagi, langkah penguatkuasaan peringkat PBT tersebut bertujuan untuk menyemai sikap kebertanggungjawaban dalam kalangan penjaja yang mendapat lesen sementara.
“Majlis (MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP) sudah memudahcarakan dengan memilih lokasi dan mengeluarkan permit, tanggungjawab para peniaga adalah memastikan permit itu tidak ditarik balik,” ujarnya sebelum mengetuai jerayawara jentera Perpaduan sekitar KADUN Padang Kota di sini.