Patuh SOP elak risiko tutup bazar Ramadan, pasar terbuka – Datuk Bandar MBSP

Admin

SEBERANG JAYA – Kesemua penganjur, peniaga serta pengunjung bazar Ramadan dan pasar terbuka mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan supaya tidak membawa kepada kluster baharu COVID-19.

SR. Rozali Mohamud

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata demikian dalam sidang media selepas acara Perhimpunan Korporat Bandaraya yang disiarkan secara virtual dari Menara Bandaraya di sini pada pagi ini.

“Sepanjang pemantauan saya, rata-rata peniaga mematuhi SOP, cuma pengunjung masih ada yang tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“MBSP memang tidak bercadang untuk menutup mana-mana pasar malam atau bazar Ramadan, tetapi jika ‘terpaksa’ disebabkan SOP tidak dipatuhi, kita tidak ada cara lain melainkan terpaksa menutup mana-mana penganjuran berkaitan yang tidak patuh operasi.

“Justeru, saya berhadap semua operasi dapat diteruskan sepanjang bulan Ramadan sehingga musim perayaan (Aidilfitri) nanti,” jelasnya di Dewan Kenanga di sini.

Turut serta, Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod; barisan Ahli Majlis MBSP, dan Ketua-ketua Jabatan bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Semasa berucap pada itu, Rozali memberitahu bahawa Pulau Pinang masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 15 April hingga 28 April 2021.

Sehubungan itu, katanya lagi, pihak pengurusan MBPSP memutuskan untuk meneruskan ‘Remote Workforce Initiative’ (RWI) dalam nisbah 30 peratus kehadiran kakitangan di pejabat sementara baki 70 peratus lain bekerja dari rumah.

“RWI bukannya berehat atau bercuti di rumah… tindakan disiplin boleh diambil terhadap mereka yang melanggar kod etika sebagai penjawat awam,” tegasnya.

Difahamkan, Perhimpunan Korporat Bandaraya ini merupakan yang pertama kali diadakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MBSP