Patuhi SOP, elak risiko tutup Pasar Awam Batu Lancang kali ketiga – Datuk Bandar MBPP

Admin

GEORGE TOWN – Para penjaja Pasar Awam Batu Lancang dinasihatkan supaya tidak meletakkan barang-barang niaga di luar petak premis niaga masing-masing demi memastikan laluan pergerakan antara pengunjung masih kira-kira 1meter (meter) sebagaimana digariskan dalam prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

 

 

Mengulas lanjut, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata pihaknya tidak mahu Pasar Awam Batu Lancang terpaksa ditutup kali ketiga akibat ada kes jangkitan COVID-19.

 

 

“Kita (MBPP) bukan mahu susahkan penjaja, kita cuma mahu menjaga keselamatan penjaja dan pengunjung di situ dengan laluan yang lebih luas agar penjarakan fizikal lebih terjaga.

 

 

“Pasar Awam Batu Lancang sudah ditutup dua kali, kita tidak mahu ia terpaksa ditutup kali ketiga dan setertusnya lagi.

 

 

“Jadi kita sudah minta penjaja memberi ruang yang lebih di kawasan jalan kaki supaya pematuhan SOP (penjarakan fizikal) dapat dipraktikkan,” ujar beliau dalam satu sidang media sejurus tamat Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 1 Tahun 2022 yang diadakan secara maya pagi ini.

 

 

Sehubung itu, beliau memberitahu bahawa MBPP akan mengaturkan satu lagi perjumpaan bersama-sama persatuan penjaja pasar awam berkenaan bagi membincangkan perkara berbangkit tersebut.

 

 

“Arahan ini bukan sahaja kepada Pasar Awam Batu Lancang sebenarnya, pasar-pasar yang sukar dikawal turut menerima notis sama,” katanya lagi.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MBPP