PADANG LALANG – Pusat Kelab Aktiviti Warga Emas (PAWE) Bukit Mertajam bakal menjadi satu lokasi bagi warga emas untuk melakukan aktiviti pada waktu lapang.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng berharap agar pengendali pusat berkenaan dapat merangka lebih banyak program yang sesuai pada masa akan datang bagi memastikan warga emas kekal aktif.
“Saya berharap agar warga emas serta ahli keluarga dapat memeriahkan lagi PAWE di sini dengan menjalankan pelbagai aktiviti untuk mengisi masa terluang.
“Selain itu, kanak-kanak dan remaja juga boleh turut bersama-sama untuk memberi keceriaan dan dan keseronokan kepada warga emas yang mana secara tidak langsung dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang bahagian dan penuh kasih sayang,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan Pusat PAWE Bukit Mertajam dan Program Emas Permata Keluarga, di sini, semalam.
Hadir sama, Kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd. Hazizi Ishak; Penyelia Kanan Kemas Bukit Mertajam, Ramlan Ishak; wakil daripada Jabatan Kesihatan Seberang Perai Tengah, Dr. Nurul Husna Mustafa; Pegawai Penerangan Jabatan Penerangan Pulau Pinang, Lizza Imelia Solanah; wakil daipada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), S. Pubalan serta wakil Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPK), Faizah Daud.
Difahamkan, kedua-dua program berkenaan dianjurankan bersama-sama Majlis Pengurusa Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Rambai Fasa 1, JKM Seberang Perai Tengah dan Pusat Khidmat ADUN Padang Lalang.
Mengulas lanjut, Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkata, warga emas berusia lebih 60 tahun perlu meningkatkan tahap kesihatan melalui aktiviti senaman.
“Senaman yang memberikan kesan postif akan membuatkan kita lebih cergas, sihat dan bertenaga sekiranya dilakukan secara berterusan,” jelasnya.
Selain pemeriksaan kesihatan percuma, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang program berlangsung seperti pameran daripada agensi kerajaan, pertandingan mewarna, permainan membuat arca pasir, karom, pemberian bantuan kepada keluarga kurang berkemampuan serta pendaftaran ahli PAWE.
PAWE Bukit Mertajam yang beralamat di Dewan Taman Mutiara dekat Jalan Tembikai beroperasi bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang pada setiap hari.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD