Payah ubah tabiat rakyat guna pengangkutan awam selagi tiada ‘jajaran sulung’ LRT – Ketua Menteri

Admin
545e8fab 9029 447c a632 a1f7b62efd83 KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan seusai menyertai suatu majlis di Bangunan UAB, Gat Lebuh China dekat sini pada 9 Januari 2024.

GEORGE TOWN – Usaha Kerajaan Negeri untuk meloncongkan tabiat pengguna jalan raya dari menggunakan kenderaan peribadi kepada sistem pengangkutan awam moden tidak akan dapat direalisasikan selagi tidak ada ‘jajaran sulung’ transit aliran ringan (LRT) di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberi respons itu sebagai mengulas pertikaian pihak pembangkang Pulau Pinang, semalam, berhubung keperluan menggunakan tanah rizab sekolah di Sungai Pinang untuk pembinaan stesen projek LRT Laluan Mutiara.

“Kalau lihat contoh (sistem pengangkutan awam moden yang saling keterhubungan) di Kuala Lumpur, setelah jajaran (LRT) pertama dilancarkan, sampai sekarang sudah 30 tahun untuk melihat lebih banyak jajaran (sistem pengangkutan awam darat berbasis rel) yang saling keterhubungan.

“Jadi, bagi Pulau Pinang, (projek PRT Laluan Mutiara) ini suatu permulaan (yang mana) selagi tidak ada jajaran pertama, kita (negeri ini) tidak akan ada jajaran kedua, ketiga dan keempat.

“Apabila ada jajaran-jajaran ini kelak, sistem pengangkutan awam akan menjadi suatu pilihan mod pengangkutan bagi orang ramai (yang mana sekali gus) menangani isu kesesakan lalu lintas.

“(Pelaksanaan projek LRT Laluan Mutiara termasuk pembinaan stesen di Sungai Pinang) adalah langkah mula yang perlu dilakukan, untuk mentransformasikan sistem pengangkutan awam.

“Jika tidak ada sistem pengangkutan awam yang lebih efisien dan baik, sangat payah untuk mengubah tabiat rakyat daripada menggunakan pengangkutan peribadi (kepada sistem mengangkutan awam moden),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan seusai menyertai suatu majlis di Bangunan UAB, Gat Lebuh China dekat sini pada 9 Januari 2024.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi dan Tanah dan Komunikasi itu lagi, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang telah menyerahkan tanah rizab sekolah tersebut di Sungai Pinang untuk tujuan pembinaan stesen LRT Laluan Mutiara.

“Mengenai tapak (rizab) sekolah itu, kita (Kerajaan Negeri) telah berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri bahawa tapak itu diperlukan yang mana tapak itu diserahkan kepada Kerajaan Negeri, dan Kerajaan Negeri memutuskan dengan jajaran (LRT Laluan Mutiara), tapak itu suatu lokasi yang penting.

“Tapak sekolah, kita (Pihak Berkuasa Negeri) akan melihat alternatif-alternatif (lain),” ujarnya sebagai menjawab soalan pemberita.

140757b9 1f2a 40f6 85a9 347ef6997a01
KETUA Menteri (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama-sama tiga penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat serta dua individu lain di sini pada petang tadi.

Sebelum itu, Kon Yeow menyertai majlis penyampaian Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang dianjurkan oleh agensi negeri, George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) bersama-sama dua pihak lain.

Pada majlis tersebut di sini, Kon Yeow menyampaikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada tiga penerima iaitu Dato’ Tan Chiang Kiong, Kathleen M. Rodrigues dan Mahaguru R. Anbananthan atas jasa mereka dalam memelihara dan memulihara warisan tak ketara terpilih di negeri ini supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS