PBAHB umum imbuhan dividen bagi tahun ke-19

Admin

PANTAI JEREJAK – PBA Holdings Bhd. (PBAHB) hari ini meluluskan pembayaran dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.75 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Perkara tersebut diumumkan Ketua Menteri yang juga Pengerusi PBAHB, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sejurus Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-20 sebentar tadi.

“Melalui kelulusan dividen akhir ini, PBAHB memberi ganjaran kepada para pemegang sahamnya dengan dividen satu peringkat bersih yang dicadang serta diisytiharkan sebanyak 3.50 sen untuk tahun kewangan 2019.

“Yang mana, awal tahun ini iaitu pada 10 Januari 2020, syarikat telahpun membayar dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 1.75 sen sesaham bagi tahun kewangan 2019 dan ini (tahun 2020) merupakan tahun ke-19 berturut-turut PBAHB membayar dividen kepada para pemegang saham,” ujarnya pada sidang media di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PBAHB dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari.

PBAHB adalah sebuah syarikat pegangan bagi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP), pengendali air berlesen bagi Pulau Pinang.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Jaseni memaklumkan bahawa pada tahun dikaji, PBAHB mencatatkan jumlah perolehan serta pendapatan operasi lain berjumlah RM363.14 juta.

“Keuntungan selepas cukai (PAT) mencatatkan RM25.15 juta untuk tahun 2019.

“PAT PBAHB ini dicapai tanpa semakan semula tarif air di Pulau Pinang pada tahun 2019,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD
Video: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI