GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memutuskan untuk menggunakan tempoh gangguan bekalan air berjadual (SWSI) pada April ini bagi melaksanakan secara serentak 23 projek kerja air di sembilan instalasi.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa keputusan itu dibuat hasil perbincangan lanjut yang turut melibatkan kerja-kerja Fasa 1 penyambungan akhir bahagian saluran paip menyeberangi Sungai Perai di Ampang Jajar, Seberang Perai Tengah (SPT).
“Impak pelaksanaan projek-projek ini bakal dirasai oleh 465,000 akaun pengguna air di negeri ini sama ada dalam bentuk lebih banyak bekalan air, tekanan air yang lebih baik, bekalan air lebih stabil dan pemulihan lebih pantas sekiranya berlaku gangguan air,” ujarnya pada sidang media di Komtar pada 27 Mac 2025.

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari yang juga Ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif PBAPP dan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan.
Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa antara kerja-kerja terlibat adalah penyambungan akhir saluran paip berdiameter 1.35 meter (m) menyeberangi Sungai Perai dan kerja-kerja penting di rumah pam utama Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua serta menaik taraf sistem penghantaran air terawat.
Kerja-kerja di LRA Sungai Dua termasuklah penggantian injap bocor pada bahagian saluran paip berdiameter 1.2m di Jalan Pengakalan Tambang, Seberang Perai Utara (SPU).
“Jumlah pelaburan bagi pelaksanaan kesemua 23 projek kerja air tersebut adalah RM25 juta yang mana ia merupakan pelaburan besar oleh pihak PBAPP,” jelasnya.
Menurut Kon Yeow yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif PBAPP, SWSI pada April ini akan melibatkan pengoperasian henti tugas separa atau sebahagian LRA Sungai Dua.
“Ini bermakna, sebahagian LRA Sungai Dua masih beroperasi seperti biasa, ada kawasan yang masih akan menerima air.
SWSI pada April ini dijadualkan berlaku selama maksimum 60 jam iaitu dari pukul 10 malam pada hari Jumaat pada 25 April 2025 sehingga 10.00 pagi hari Isnin (28 April 2025).
“Tempoh maksimum ini adalah tempoh yang telah dilanjutkan (berbanding pengumuman sebelum ini pada 10 Februari lalu) dan dijangka menjejaskan 341,708 akaun pengguna air di semua lima daerah di Pulau Pinang.
“Namun, demi kepentingan pada pengguna, PBAPP merancang pemulihan bekalan air 88 peratus untuk 300,185 akaun pengguna air terjejas dalam tempoh 48 jam atau dua (2) hari,” katanya.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berharap dengan pemberitahuan notis awal ini, orang ramai akan memberi kerjasama penuh bagi menjayakan pelaksanaan perancangan berkaitan.
“Simpan air yang mencukupi untuk kegunaan selama tempoh gangguan ini terutama di kawasan hujung saluran paip (agihan) yang mungkin mengambil masa lebih lama.
Selain itu, PBAPP juga akan memobilisasikan lori tangki air ke kawasan terjejas terutama di kawasan yang terjejas lebih 48 jam untuk membantu penduduk mendapatkan air.
“Kerajaan Negeri dan PBAPP akan terus berkongsi butiran termasuk mengemas kini status terkini melalui media massa dari semasa ke semasa,” katanya lagi.
Selain itu, Kon Yeow memberitahu bahawa pihak PBAPP akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama pemegang taruh termasuk semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan terjejas, pengendali pusat dialisis dan fasiliti kesihatan, hospital, operator kilang dan premis perkhidmatan berkaitan.
Sementara itu, Pathmanathan berkata, pelaksanaan SWSI kelak adalah untuk meningkatkan kapasiti dan kecekapan mengepam air terawat dari LRA Sungai Dua kepada 465,000 pengguna air atau kira-kira 66 peratus daripada jumlah pelanggan PBAPP di negeri ini.
SWSI pada April ini akan menjadi satu-satunya SWSI yang dijadualkan bagi tahun 2025 ini yang mana pihak PBAPP tidak merancang untuk melaksanakan satu lagi SWSI tahun ini.
“Bagi SWSI berjadual kali ini, ia menjejaskan pengguna air pada tahap yang berbeza-beza yang mana tempoh pemulihan dalam jangka masa 24 jam akan melibatkan 136,683 pengguna air.
“Manakala, bagi tempoh pemulihan 48 jam kepada 163,502 pengguna air dan selebihnya bagi tempoh pemulihan 60 jam melibatkan baki 41,523 pengguna air di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) dan Daerah Barat Daya (DBD) iaitu di kawasan hujung saluran paip agihan,” jelasnya.

Difahamkan, seramai 130,790 pengguna air di DBD akan terkesan susulan SWSI April 2025; di SPS (77,921); Daerah Timur Laut (73,090); SPT (38,796) dan SPU (21,111).
Menjawab soalan pemberita berhubung jumlah tenaga kerja yang bakal terlibat sepanjang tempoh tersebut, Pathmanathan menjangkakan lebih 1,000 kakitangan akan terlibat.
“Jumlah ini termasuk mereka yang bertugas di Pusat Panggilan 24 jam, bomba sukarela dan lain-lain pihak berkaitan,” katanya.
Berikut adalah ilustrasi kawasan yang terlibat dalam SWSI 2025. Kawasan yang berlorek merupakan kawasan terjejas yang mana kawasan dengan lorekan warna jingga dijangka menerima air lebih awal berbanding kawasan dengan lorekan warna ungu.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALISSALA THIAN