BAGAN JERMAL – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan memulakan kerja-kerja pembinaan paip penyampaian air sepanjang tiga meter (m) merentasi atas sungai Sungai Perai dekat Ampang Jajar yang menelan belanja kira-kira RM17 juta.
Apabila projek itu siap kelak, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa ia akan mengantikan dua paip sementara berdiameter 600 milimeter (mm) yang dipasang pada hujung Januari lepas merentasi atas Sungai Perai dekat Jambatan Ampang Jajar.
“Kita (PBAPP) mendapati terdapat empat lokasi yang mana paip-paip penyampaian air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua adalah ‘ditanam’ di bawah dasar Sungai Perai.
“Sebagai penyelesaian jangka panjang untuk mengelak paip-paip lama (di dasar sungai) itu bocor, maka kita (PBAPP) memutuskan untuk membina dan memasang paip baru yang menyeberangi (atas) Sungai Perai,” katanya yang juga Pengerusi PBAPP pada sesi lawatan ke lokasi projek di sini sebentar tadi.
Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, kerja-kerja pembaikan paip penyampaian air pada masa hadapan lebih mudah jika tidak lagi berada di dasar sungai seperti sebelum ini.
“Kita (PBAPP) sudah melantik kontraktor untuk melakukan tugas ini yang melibatkan pemasangan paip (berdiameter) 1.35m iaitu mengikut saiz paip asal.
“Di keempat-empat lokasi (projek), kita (PBAPP) mendapati kontraktor sudah melakukan kerja-kerja awal (yang mana) kerja-kerja (pemajuan) ini akan mengambil masa lapan bukan sehingga 18 bulan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Buletin Mutiara difahamkan, kerja-kerja pembiayaan dua paip penyampaian air merentasi atas Sungai Perai akan mengambil masa lapan bulan sahaja, sementara 18 bulan adalah tempoh keseluruhan kerja-kerja berkaitan lain di sini.
Kon Yeow dalam pada itu turut menjelaskan bahawa rancangan gangguan bekalan air berjadual seperti pada awal tahun ini akan dilakukan sekali lagi kelak, semasa kerja-kerja akhir penyambungan paip baru dan paip lama dilakukan.
“PBAPP akan membuat pengumuman (rancangan gangguan bekalan air berjadual) dengan lebih awal lagi dan memberi notis bilakah bekalan air perlu ‘ditutup’ untuk kerja-kerja wajib iaitu menyambung paip baru dan paip sedia ada,” ulasnya lanjut.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari dan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan turut sertai Kon Yeow melawat tapak projek tersebut.
Terdahulu, pada hujung tahun lepas, PBAPP melaksanakan rancangan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari mulai 10 Januari 2024 untuk dua kerja pembaikan besar dekat LRA Sungai Dua di samping 22 lokasi dekat seluruh negeri ini.
Semasa itu, paip sedia ada di bawah dasar Sungai Perai beberapa kali bocor, hatta memaksa Kerajaan Negeri dan PBAPP melaksanakan langkah kontingensi termasuk pembinaan paip lencong sementara merentasi atas sungai tersebut.
Semasa itu juga, Kon Yeow menyatakan bahawa pentadbirannya akan menyegerakan rancangan pembinaan projek pembinaan paip penyampaian air merentasi atas Sungai Perai berwajib bagi mengelak risiko luar jangka seperti paip lama bawah dasar sungai bocor beberapa kali, hatta mengakibatkan proses penyampaian air terawat ke seluruh negeri ini terganggu.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI