PBAPP cadang lakukan pembenihan awan

槟州供水机构首席执行员拿督杰瑟尼呼吁民众明智用水。

AIR ITAM – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan mencadangkan operasi pembenihan awan kepada Kerajaan Negeri bagi mencetuskan lebih banyak taburan hujan di kawasan Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata, operasi tersebut sesuai dilaksanakan pada April depan ketika negeri ini memasuki musim peralihan monsun kelak.

Jelasnya, objektif pembenihan awam ini adalah untuk mencapai kapasiti efektif minimum 80 peratus di Empangan Air Itam dan Teluk Bahang menjelang Disember 2021.

“Tahun lalu, ekoran penurunan kadar efektif air yang begitu drastik, sebanyak 15 pembenihan awan telah dilakukan membabitkan kos RM450,000 dan ia dibiayai oleh pihak Kerajaan Negeri sepenuhnya.

“Justeru, tahun ini kita (PBAPP) menganggarkan jumlah (15) pembenihan awan yang sama diperlukan untuk meningkatkan kadar hujan di kawasan-kawasan berkenaan sekali gus memastikan kapasiti efektif di kedua-dua empangan mencapai 80 peratus,” katanya pada sidang akhbar di Empangan Air Itam di sini pagi tadi.

Difahamkan bahawa dalam tempoh 1 Januari 2021 sehingga 11 Mac lalu, kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang masing-masingnya telah menurun sebanyak 17.9 peratus dan 2.0 peratus kerana hujan tidak mencukupi untuk ‘memulihkan’ pelepasan harian

Ekoran itu, Jaseni memaklumkan bahawa PBAPP telah memulakan langkah-langkah kawalan kejuruteraan bekalan air cuaca kering berikutan hujan minimum di kedua-dua empangan berkenaan sejak 1 Januari 2021.

“Sebagai pengendali air yang bertanggungjawab dan holistik, kita telah menerapkan langkah-langkah pengendalian cuaca kering demi ‘mengekalkan’ kapasiti di kedua-dua empangan berkenaan. Antara langkah proaktif yang telah diambil adalah:

* Memantau kapasiti empangan di negeri ini dan Kedah, serta paras air Sungai Muda setiap hari;
* Mengoptimumkan pelepasan harian dari kedua empangan ini;
* Mengoptimumkan pengeluaran air dari Loji Rawatan Air Sungai Dua (loji rawatan air terbesar di Pulau Pinang) di Seberang Perai dan mengepam air terawatt dari loji itu ke bahagian pulau melalui saluran paip dasar laut ;
* Memaksimumkan abstraksi air dari Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang dan mengepam air mentah ke Loji Rawatan Air Sungai Dua untuk pengeluaran air terawat;
* Melepaskan air mentah dari Empangan Mengkuang di Seberang Perai untuk menampung pengeluaran air di Loji Rawatan Air Sungai Dua jika perlu.

“Sementara itu, semua pengguna terus dinasihati untuk menggunakan air secara berhemah,” ujarnya.

PBAPP hari ini mengeluarkan amaran situasi tahap satu bermula hari ini ekoran kapasiti di Empangan Air Itam dan Teluk Bahang mencatatkan penurunan ekoran musim kemarau.

Pada kadar efektif sehingga semalam (11 Mac 2021) Empangan Air Itam mencatatkan 77.3 peratus dan mampu menampung keperluan air selama 75 hari, manakala Empangan Teluk Bahang (56.7 peratus) selama 170 hari.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN