PBAPP labur RM20 juta, kitar semula sisa LRA

Admin
59f4f5bf afdc 4c8f 8434 2070e3f0f877 KETUA Menteri (tujuh dari kiri), K. Pathmanathan (lapan dari kiri) bersama-sama barisan pemimpin lain merakamkan gambar di Loji Penyahairan Sungai Dua (SDDP) di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini pada 23 Februari 2025.

SUNGAI DUA – Loji Penyahairan Sungai Dua (SDDP) yang siap dibina dengan perbelanjaan RM20 juta akan menyelesaikan isu malar segar selama 16 tahun iaitu menyah air, memproses dan membuang sisa dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, tanpa menjejaskan alam sekitar dan dengan kos efektif.

d127dc07 cdea 4afd af38 ae7e7d3b04ed
KETUA Menteri

Demikian ucapan Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi dan Tanah dan Komunikasi semasa merasmikan SDDP baharu LRA Sungai Dua di sini pasa 23 Februari 2025.

“Sisa ini dikitar semula menjadi bata (binaan)…sisa jadi sumber, sumber jadi sisa, ini adalah ekonomi putaran.

“Aspek mengagumkan SDDP ialah ia mampu ‘mengendali’ sisa LRA pada kos RM145 setiap tan matrik (mt) yang (mana anggaran kos itu) jauh lebih murah daripada kos unjuran RM550 se-mt untuk pelupusan sisa LRA yang belum diproses.

“Mengambil kira jumlah besar sisa LRA yang dijana di LRA Sungai Dua setiap tahun, penjimatan kos pelupusan sisa adalah antara RM60 juta hingga RM70 juta setahun, mulai tahun 2025,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sejak tahun 2009, difahamkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menggesa semua operator bekalan air negara termasuk PBAPP untuk melupuskan sisa LRA di ‘Tapak Pelupusan Sanitari Kelas 4’.

Kon Yeow menyatakan, pihaknya dimaklumkan bahawa hampir semua LRA di tanah air ini tidak mematuhi gesaan JPA tersebut kerana melibatkan kos pelupusan yang tinggi.

“Pada tahun 2021, dianggarkan semua LRA di Malaysia menjana sejumlah 5,500 mt sisa LRA setiap hari atau kira-kira 2.1 mt setahun.

“Pada tahun 2024, jika PBAPP mematuhi peraturan JAS, ia akan menanggung kos tambahan lebih daripada RM90 juta setahun untuk meluluskan kira-kira 450 mt sisa LRA yang belum diproses dari Sungai Dua dengan anggaran kos RM550 setiap mt.

“Tambahan kos bekalan air RM90 juta ini sudah pasti akan ‘dipindahkan’ kepada pengguna air Pulau Pinang dalam bentuk kadar air yang jauh lebih tinggi,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan SDDP dibina oleh Alam Aliran Kualiti Sdn. Bhd. (AAK) iaitu sebuah syarikat pengurusan sisa berjadual dan rawatan air sisa di LRA Sungai Dua serta tidak melibatkan kos tanah.

Tambah Kon Yow, PBAPP telah menandatangani kontrak bertempoh 15 tahun dengan AAK untuk memproses sisa LRA di LRA Sungai Dua.

“PBAPP akan mengawasi operasi SDDP untuk memastikan kemudahan dan produk akhir mematuhi peraturan JAS.

“Saya ingin memuji PBAPP kerana melaksanakan penyelesaian sisa LRA hijau dan pintar yang menyokong aspirasi wawasan Penang2030,” ulasnya lanjut.

Berucap sebelum itu, Ketua Pegawai Operasi PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan memberitahu bahawa sejak tahun 2009, PBAPP memulakan projek kitar semula sisa LRA di LRA Sungai Dua sebagai komponen pengeluaran bata tanah liat untuk memenuhi sektor pembinaan.

“Projek kitar semula ini secara teknikalnya berdaya maju dan memenangi anugerah, namun, permintaan pasaran terhadap produk akhir tersebut adalah perlahan.

“Hari ini, pada 2025, kapasiti rawatan reka bentuk maksimum LRA Sungai Dua telah dinaik taraf kepada hampir 10 kali ganda daripada kapasiti asal, daripada 136 JLH (Juta Liter Sehari) kepada 1,342 JLH.

“Sehubungan itu, jumlah sisa LRA yang dijana oleh proses harian loji telah meningkat secara mendadak (jadi) kami memilih untuk menangani isu sisa LRA dari sudut yang berbeza.

“Operasi SDDP ini akan memastikan bahawa operasi rawatan air kami di Sungai Dua adalah lebih selamat dan mesra alam. Inilah arah tuju ke hadapan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long memberitahu bahawa Pulau Pinang belum putuskan isu penjawat awam balik awal sepanjang Ramadan.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; dan Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai majlis perasmian operasi SDDP LRA Sungai Dua di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN